
TEMPAHAN VOLVO EX90 DAN XC90 BAHARU KINI DI BUKA – ANGGARAN HARGA RM450K
Volvo Car Malaysia kini membuka tempahan untuk dua SUV flagshipnya, Volvo EX90 dan XC90 baharu.
Kedua-dua model tujuh tempat duduk ini bakal mengukuhkan lagi barisan kenderaan elektrifikasi Volvo di Malaysia.
Malaysia menjadi antara pasaran terawal di Asia Pasifik yang memperkenalkan Volvo EX90 selepas pelancarannya di Thailand tahun lalu.
Harga jualan dianggarkan sekitar RM450,000, dengan perincian lanjut mengenai varian dan spesifikasi akan diumumkan dalam masa terdekat.

Volvo EX90 merupakan SUV sepenuhnya elektrik pertama Volvo untuk pasaran global. Ia menawarkan teknologi keselamatan tercanggih serta seni bina pengkomputeran teras yang dipacu perisian bagi memastikan pengalaman pemanduan semakin dipertingkat sepanjang tempoh pemilikan.
Dengan jarak pemanduan melebihi 600km dan pecutan 0-100km/j dalam kurang lima saat, EX90 juga dilengkapi sistem audio Bowers & Wilkins High Fidelity serta tempat duduk tujuh penumpang yang boleh dilipat secara automatik untuk ruang kargo yang lebih luas.
Sementara itu, XC90 baharu hadir sebagai model plug-in hybrid yang mengekalkan ciri praktikal dan reka bentuk ikoniknya sejak generasi pertama.
Facelift terbaharu ini adalah perubahan besar pertama sejak model semasa diperkenalkan 10 tahun lalu, menampilkan rekaan segar dan antaramuka yang lebih moden bagi menyamai model elektrik penuh Volvo.
Bagi mereka yang berminat, tempahan boleh dilakukan di laman web rasmi Volvo di https://90-90.volvocarmalaysia.com.