Buletin

VOLVO XC40 RECHARGE T5 R-DESIGN 2021. PLATFORM CMA, PHEV 262HP, RM242K SEUNIT

Volvo Car Malaysia (VCM) hari ini secara rasminya melancarkan Volvo XC40 Recharge T5 R-Design ke pasaran tempatan.

Dengan pelancaran itu, VCM menjadi satu-satunya jenama automotif di Malaysia yang menawarkan kereta pemasangan tempatan (CKD) ialah model hibrid plug-in (PHEV).

Dibangun menggunakan platform Compact Modular Architecture (CMA) Volvo, buat pertama kalinya Volvo XC40 Recharge T5 dilengkapi enjin tiga silinder turbocharged 1.5 liter dan rangkaian kuasa Drive-E.

Sebuah motor elektrik dipasang pada kotak gear automatik dual-clutch 7-kelajuan bagi menggerakkan roda hadapan.

Rangkaian kuasa itu menawarkan pemanduan mantap dengan pelepasan CO2 hanya 50 gram per kilometer, di samping mengekalkan kemewahan dan prestasi Volvo.

Jentera itu menjanjikan gabungan kuasa 262hp dan tork 425Nm. Manakala kuasa tork  160Nm dan kuasa 82hp dihasilkan daripada motor elektrik untuk pecutan serta-merta.

XC40 Recharge T5 mampu mencapai kelajuan 100km/j dalam masa hanya 7.3 saat dengan pecutan dihadkan kepada 180km/j.

SUV tersebut dilengkapi pelbagai ciri keselamatan seperti Pilot Assist, City Safety, Run-off Road protection and mitigation dan Cross Traffic Alert dengan sokongan brek. Ia juga hadir dengan lima mode pemanduan iaitu Hybrid, Pure, Off-road, Power dan Individual.

Sekali pandang, Volvo XC40 Recharge T5 hampir sama dengan varian XC40 yang lain. Jentera itu nyata menyerlahkan rekaan Scandinavian yang cantik dan penuh fungsi. Ia dilengkapi trim R-Design bersama soket pengecas di bahagian hadapan kiri.

Ruang penyimpanan barang di dalam kabin telah direka semula agar lebih praktikal. Ini termasuklah cangkuk yang boleh ditarik untuk menggantung barang.

XC40 Recharge T5 ditawarkan pada harga RM255,888. Namun, dengan pengecualian cukai daripada kerajaan, harganya kini dikurangkan menjadi RM241,997 seunit (atas jalan, tanpa insurans).

Terdapat lima pilihan warna iaitu hitam, putih mutiara, biru metalik, perek dan merah.  

SUV tersebut sudah boleh dilihat secara dekat di semua pengedar Volvo sah di seluruh negara bermula hari ini. Ia juga boleh ditempah secara dalam talian melalui laman web rasmi VCM www.volvocars.com/my.

Ikuti Facebook Volvo Car Malaysia http://bit.ly/VolvoMY-FB dan Instagram http://bit.ly/VolvoMY-IG untuk maklumat terkini.

GALERI

Google ads
Back to top button