Buletin

XPENG G6 FACELIFT 2025. BATERI LFP BAHARU, 525KM SEKALI CAJ, BERMULA RM180K

Bermaz Xpeng Sdn Bhd, pengedar tunggal XPENG di Malaysia hari ini melancarkan XPENG G6 Ultra Smart Coupe SUV baharu secara rasmi. G6 mula diperkenalkan ke pasaran tempatan pada Ogos 2024 dan versi ini tampil dengan ciri serta penambahbaikan terkini.

Sudah dibuka untuk tempahan, varian dan harganya adalah seperti berikut: 

  • XPENG G6 RWD Long Range Pro: RM179,708
  • XPENG G6 AWD Performance: RM190,708
  • XPENG G6 AWD Performance: RM194,708

XPENG G6 facelift hadir dengan peningkatan besar dari segi prestasi, teknologi pintar dan reka bentuk. Dibangunkan di atas platform SEPA 2.0 yang canggih, ia menawarkan dinamik pemanduan lebih efisien. Selain sistem pintar yang telah dipertingkat untuk pengalaman lebih lancar dan sentiasa berhubung.

SUV coupe elektrik premium itu menggabungkan rekaan yang menawan dan aerodinamik. Antara kemas kini luaran termasuklah lampu LED Starlight Wing penuh lebar bersama lampu isyarat membelok bersepadu, serta peresap udara belakang (rear diffuser) baharu yang menambah baik aliran udara.

Logo XPENG dalam kemasan kelabu matte kini dipindahkan dari bonet ke hud. Arca roda pula kini sama warna dengan badan untuk penampilan lebih kemas. Manakala bahagian belakang menerima ‘spoiler jenis ‘ducktail’ baharu yang nampak cukup sporty. 

Ruang dalaman XPENG G6 2025 telah direka semula yang memberi penekanan terhadap penggunaan material premium, teknologi immersive dan lebih selesa.

Rekaan Super Star-Ring Interior Design mengubah sehingga 60 peratus ruang dalaman. Ia melibatkan rekaan papan pemuka yang lebih kemas, lampu ambien dan stereng kapasitif generasi baharu.

Gabungan warna kelabu gelap dan cerah menyerlahkan lagi ambien kabin yang moden dan futuristik. Kabin juga dilengkapi sistem ketersambungan pintar, termasuk paparan skrin sentuh bersaiz 15.6 inci, kluster meter digital berukuran 102.5 inci, kawalan suara responsif serta integrasi telefon pintar. 

Dibina untuk tahap keselesaan terbaik dalam kelasnya, XPENG G6 baharu menawarkan ruang kepala dan kaki yang luas bersama bumbung suria panoramik bersama kemasan taburan bintang. Keselesaan dipertingkat lagi dengan ciri pintar terkini seperti kerusi hadapan dengan fungsi urutan, sokongan lumbar, pemanas serta pengudaraan.

Penumpang belakang kini boleh duduk lebih selesa dengan kerusi boleh baring 12 tahap yang memberi rasa seperti duduk di atas sofa mewah.

Jentera itu mampu menawarkan ruang kargo mencecah 571 liter dan menjadi 1,374 liter apabla penyandar tempat duduk belakang dibaringkan. 

Dari segi kuasa varian RWD berupaya menjana 292hp dan tork 440Nm. Manakala varian AWD pula menghasilkan kuasa tambahan sehingga 480hp dan tork mencecah 660Nm.

Angka itu membolehkannya memecut sehingga 202km/j. Pemandu juga boleh memilih di antara mode pemanduan seperti Eco, Comfort, Sport, Individual launch dan Escape mode. 

Pengecasan Pantas

G6 dikuasakan oleh platform bateri generasi baharu Lithium Iron Phosphate (LFP) 800V high-voltage SiC, menjadikannya model pertama industri dengan naik taraf kepada bateri 5C LFP. Teknologi ini bukan sahaja meningkatkan kecekapan, malah lebih tahan lama berbanding sistem bateri konvensional.

Tanpa penggunaan mineral intensif seperti kobalt dan nikel, ia lebih selamat, mesra alam serta mapan. Namun tetap memberikan prestasi harian yang mantap dan boleh dipercayai.

Varian Long Range Pro dan AWD Performance memggunakan bateri berkapasiti 80.5kWh LFP baharu yang menggantikan bateri 87.5kWh lithium-ion terdahulu. Digabungkan dengan platform 800V SiC, ia menawarkan keupayaan pengecasan DC sehingga 451kW dan AC 11kW.

Hasilnya, XPENG G6 menetapkan penanda aras baharu dalam segmennya apabila mampu mencatat pengecasan 10% hingga 80% dalam masa cuma 12 minit. Ini menjadikannya sebagai sebuah EV dengan kadar pengecasan paling pantas dalam kelasnya.

Jarak pemanduan pula mencecah 525km (RWD) dan 510km (AWD) dengan sekali cas, cukup ideal untuk pemanduan harian mahupun perjalanan jauh.

XPENG G6 baharu turut dilengkapi rangkaian suit pemanduan pintar yang telah dinaik taraf yang merangkumi stereng kapasitif MicroFiber serta cip pemanduan termaju. Kombinasi ini memberikan tahap persepsi yang tepat, jelas dan jarak lebih jauh, sekali gus meningkatkan keselamatan serta kawalan di jalan raya.

Sistem ini menyokong fungsi bantuan pemandu lanjutan seperti Adaptive Cruise Control, Lane Keeping dan Automated Parking.

Kokpit pula digerakkan oleh cip berprestasi tinggi yang menawarkan operasi lebih lancar, tindak balas pantas, serta ketersambungan pintar untuk hiburan dan fungsi pemanduan.

Keselamatan terus menjadi teras falsafah XPENG. Bateri tahap kalis peluru yang dipasang dalam rangka keselamatan bertetulang serta dilindungi dengan armor gred balistik membolehkannya menahan keadaan ekstrem, termasuk suhu setinggi 1,000˚C dan tekanan hentaman sisi sehingga 80 tan.

Jangka hayat bateri dipertingkat sebanyak 30%, menjadikannya lebih tahan lama sambil memenuhi piawaian keselamatan industri paling ketat.

XPENG G6 Ultra Smart Coupe SUV baharu merupakan model import sepenuhnya (CBU) dari China. Ia ditawarkan dalam lima pilihan warna iaitu putih, kelabu, hitam, perak dan ungu.

G6 juga didatangkan dengan edisi khas Black Edition. Versi eksklusif itu menampilkan logo XPENG hitam, rim aloi 20-inci dengan kemasan hitam berkilat dan angkup brek hitam. Black Edition bagaimanapun hanya ditawarkan untuk varian AWD Performance.

Untuk ketenangan minda, G6 hadir dengan jaminan selama 5 tahun (atau 120,000km), termasuk 5 tahun servis & penyelenggaraan percuma (atau 100,000km). Ia turut disokong dengan jaminan bateri voltan tinggi 8 tahun dengan had perbatuan 160,000km.

GALERI

Google ads
Back to top button