
XPENG G7 RASMI DILANCARKAN – DUA VARIAN, JARAK GERAK 702KM, HARGA BERMULA RM127K
XPeng secara rasmi telah melancarkan SUV elektrik terbaharunya, G7, untuk pasaran China dengan harga permulaan serendah RMB195,800 (sekitar RM127,000), jauh lebih rendah daripada Tesla Model Y.
Diletakkan sebagai pencabar terus kepada Model Y dan SUV baharu Xiaomi, YU7, model lima tempat duduk ini hadir dalam dua varian: Max dengan jarak pemanduan 602km dan Ultra yang mampu mencapai 702km mengikut piawaian CLTC.
Menariknya, harga rasmi ini lebih rendah berbanding ketika pertama kali diumumkan pada bulan Jun lalu. Model Ultra berharga RMB225,800 (sekitar RM146,000), iaitu masih lebih murah daripada pesaingnya.

Dibina berasaskan platform 800-volt, XPeng G7 menggunakan bateri LFP daripada CALB dengan pilihan kapasiti 68.5kWh dan 80.8kWh.
Ia menyokong pengecasan pantas 5C, membolehkan cas daripada kosong ke 80% dalam hanya 12 minit. Penggunaan tenaga juga sangat efisien pada kadar hanya 10.8kWh untuk setiap 100 km.
Motor pacuan belakangnya menjana 218kW (292 hp) dan 450Nm tork, membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 6.5 saat.

XPeng G7 juga mencatat sejarah sebagai kenderaan produksi pertama yang dilengkapi cip pemanduan pintar Turing AI rekaan dalaman syarikat sendiri. Cip ini menawarkan kuasa pemprosesan hingga 2,250 TOPS, menjadikannya sistem pemanduan autonomi paling berkuasa dalam pasaran EV setakat ini.
Model Ultra menggunakan tiga cip Turing — dua untuk pemanduan dan satu untuk fungsi kokpit, manakala varian Max dilengkapi cip Nvidia Orin X berkembar.
Dari segi rekaan, G7 menampilkan gaya terkini “X Face” dengan lampu hadapan LED minimalis dan strip LED penuh lebar. Bahagian belakang pula menonjol dengan lampu ‘Star Ring’ dan spoiler aerodinamik. Koefisien seretan (Cd) direkodkan pada 0.238, sedikit lebih tinggi daripada Tesla Model Y.

Kabinnya pula direka minimalis, dilengkapi skrin infotainmen 15.6-inci dan tambahan skrin 8-inci untuk penumpang belakang. Antara ciri lain termasuk tempat duduk dengan fungsi urut, pemanas dan ventilasi, sistem audio 20 pembesar suara, lampu suasana, cermin pandang belakang digital serta bumbung panoramik.
Dari segi ruang kargo, G7 menawarkan 42 liter ruang frunk, 819 liter ruang but belakang yang boleh ditingkatkan hingga 2,277 liter apabila tempat duduk dilipat, serta ruang simpanan bawah lantai berkapasiti 120 liter. XPeng mendakwa ruang ini cukup untuk menyimpan 37 beg bersaiz 20 inci.
Sejak dibuka untuk pra-tempahan, G7 menerima 10,000 tempahan hanya dalam masa 46 minit. Prestasi jualan syarikat juga mencanak, sebanyak 34,611 unit dihantar pada Jun 2025, menjadikan jumlah separuh pertama tahun ini mencecah 197,189 unit, peningkatan 279 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Walaupun pasaran EV di China semakin sengit, terutama dengan kemunculan Xiaomi YU7, XPeng kini tampak berada di landasan kukuh untuk mencapai sasaran menggandakan penghantaran tahunannya pada 2025.