
SUV ELEKTRIK XPENG G7 TERIMA 10,000 TEMPAHAN DALAM 46 MINIT!
Model SUV elektrik terbaharu dari Xpeng, G7, mencetuskan fenomena dalam pasaran automotif China apabila mencatatkan 10,000 tempahan dalam masa hanya 46 minit selepas majlis pelancarannya pada 11 Jun 2025.
Dengan harga permulaan sebanyak 235,800 yuan (sekitar RM154,000), G7 dilengkapi teknologi canggih termasuk kuasa pengiraan 2,200 TOPS, paparan AR-HUD 87 inci, jarak gerak sehingga 702km, dan kuasa puncak 292hp.
Ia dibina atas platform pacuan roda belakang (RWD) dan menawarkan konfigurasi 5 tempat duduk.
Meskipun harga yang diumumkan dilihat agak tinggi, ia sebenarnya strategi biasa di China, di mana pengeluar sering memaparkan harga untuk varian tertinggi semasa pelancaran awal.

Harga untuk versi asas dijangka lebih rendah, sekitar 200,000 yuan (lebih kurang RM130,000), yang bakal menarik lebih ramai pembeli dalam tempoh jualan rasmi.
Antara tarikan utama ialah cip Turing AI yang dibangunkan sendiri oleh Xpeng. Dengan keupayaan pengiraan mencecah 2,200 TOPS, ia tiga kali lebih berkuasa daripada cip Tesla AI4 dan Nvidia AGX Thor. Malah, ia dikatakan setara dengan sembilan cip Nvidia Drive Orin-X digabungkan.
Cip ini menyokong sistem pemanduan autonomi Level 3 melalui sistem XNGP berasaskan kamera pandangan (vision-based).
G7 juga tampil dengan sistem paparan HUD berasaskan realiti terimbuh (AR-HUD) bersaiz 87-inci yang dibangunkan bersama Huawei. Sistem ini menyokong navigasi lanjutan, pengesanan lorong dinamik dan pampasan latensi — satu lagi sebab mengapa pengguna berebut untuk menempah model ini.
Sebelum ini, model sedan Mona M03 mencatatkan 12,566 tempahan dalam masa sejam, manakala Xpeng P7+ menerima 30,000 tempahan dalam masa kurang dua jam. Kini, G7 meneruskan momentum itu dengan mencipta impak besar di peringkat awal pelancarannya.
Namun perlu diingat, tempahan awal G7 hanya melibatkan deposit boleh-pulang sebanyak 2,000 yuan (sekitar RM1,300), jadi jumlah pembelian akhir mungkin berubah.