
XPENG X9 EREV BAKAL DILANCAR OKTOBER, MAMPU CAPAI JARAK 1,600KM
Xpeng bakal memperkenalkan varian terbaharu bagi model minivan X9, iaitu versi Extended Range Electric Vehicle (EREV), yang dijadualkan membuat penampilan rasmi pada Oktober 2025 di China.
Model ini hadir dengan sistem hibrid plug-in jenis “range extender”, di mana enjin pembakaran dalaman tidak memacu roda secara langsung tetapi berfungsi sebagai penjana kuasa untuk bateri dan motor elektrik.
Konsep ini semakin popular di China kerana kosnya lebih rendah berbanding kenderaan elektrik penuh serta mampu mengatasi masalah “range anxiety”.
Xpeng X9 EREV dipadankan dengan enjin turbo 1.5 liter berkuasa maksimum 148hp, digabungkan bersama bateri LFP berkapasiti 63.3kWh yang dibangunkan oleh CALB.

Hasilnya, kenderaan ini boleh bergerak sejauh 450km dalam mod elektrik sepenuhnya, manakala dengan bantuan enjin, jarak keseluruhan mampu mencecah 1,600km mengikut standard CLTC.
Teknologi pengecasan turut menjadi tumpuan apabila ia menyokong sistem 800V berkuasa tinggi dengan kemampuan pengecasan 5C, membolehkan kuasa puncak sekitar 316.5kW.
Dari segi saiz, X9 EREV membawakan dimensi 5,316mm panjang, 1,988mm lebar dan 1,785mm tinggi, dengan jarak roda 3,160mm. Berat keseluruhan pula dianggarkan 2,750 kg, menjadikannya sebuah MPV besar yang sesuai untuk keluarga atau kegunaan jarak jauh.
Sebagai rujukan, versi elektrik penuh X9 telah dilancarkan pada Januari 2024 dan mencatatkan jualan kumulatif melebihi 32,000 unit. Pengenalan varian EREV ini dijangka akan melonjakkan lagi populariti model tersebut.


