Artikel Pilihan

XPENG NAVIGATION GUIDED PILOT, LAGI SELAMAT, SOPAN DARI MANUSIA

China terkenal sebagai negara yang bergerak pantas dalam teknologi dan inovasi serta di jalan raya. Jika anda sangkakan memandu di jalan raya China adalah tenang seperti di Jepun maka anda silap besar. Jika anda berjaya memandu di China denga suasana chaos tanpa mengalami kemalangan, anda patut menerima PhD dalam pengalaman pemanduan anda

Pemandu di Guangzhou suka mengikut rapat, menukar dan mencilok di depan pemandu lain, memberi signal ibarat menjemput kereta lain rapat ke lorong anda, hon adalah cara berkomunikasi, tidak bertolak ansur dan kemalangan kecil kerap berlaku akibat trafik yang sesak.

Berdasarkan pengalaman penulis menggunakan e-hailing di Guangzhou, penulis perhatikan yang pemandu menekan pedal brek dengan tergesa-gesa sehingga sejengkal dari kereta depan, potong rapat sambil hon, dan cilok macam sedang audition untuk Fast & Furious versi Guangzhou dan yang paling tidak boleh lupa ialah pemandu e-hailing mencilok lori yang sedang memasuki simpang kanan di sebelah kanan

Kalau insiden ini berlaku di Malaysia, sudah pasti video pemandu e-hailing ini akan tular. Tapi jalan raya di China memang urban chaos tahap legenda, dan sesiapa yang sudi menaiki e-hailing di China layak mendapat sijil “Defensive Passenger Masterclass”.

Tapi apa yang peliknya, apabila penulis menjadi penumpang dalam kenderaan XPeng yang dilengkapi dengan sistem NGP (Navigation Guided Pilot), suasana terus berubah. Daripada cemas ketika mula-mula memandu, penulis menjadi lebih tenang dan yakin dengan cara dan kawalan pemanduan NGP, persis dipandu oleh pemandu professional yang biasa membawa penumpang VVIP.

Sistem pemanduan NGP ini lebih beradab, lebih sopan dan cermat daripada pemandu tempatan di Guangzhou. Dengan sokongan 12 sensor ultrasonic, 3 milimeter wave radar dan 11 kamera. Paling menarik ialah sistem ini berupaya menyokong sistem pemanduan sendiri tanpa menggunakan sistem LiDAR (Laser Detection & Range)

Tapi ini bukan kamera biasa, ini adalah kamera Sensor LOFIC (Lateral Overflow Integration Capacitor) yang boleh melihat dalam keadaan yang sangat gelap dan juga apabila terdedah kepada cahaya yang terlalu terang. Xpeng menggelarkan kamera ini sebagai Eagle Eye disebabkan keupayaan kamera ini

Semua maklumat yang diperolehi oleh kamera, radar dan sensor ini akan diproses oleh 2 chip Orin X yang memiliki kuasa pemprosesan sehingga 508 TOPS (trillion operations per second). Lagi tinggi nilai TOPS, lebih banyak data untuk Artificial Intelligent diproses dan dikira dalam satu masa

Kenderaan Xpeng yang diuji oleh penulis menggunakan sekitar 508 TOPS (204 x2), tetapi pada masa akan datang, Xpeng sedang membangunkan sendiri yang dinamakan sebagai Turing AI Chip 40 Teras yang direka khusus untuk AI dan pemanduan automasi, menggunakan domain specific architecture (DSA) untuk neural network, menjadikannya lebih efisien untuk pengiraan data pemanduan automatik

Cip ini mengetengahkan teknologi NPU (Neural Processing Unit) dan dual ISP (Image Signal Processors), sangat bagus untuk persepsi kamera dalam cahaya yang terlalu gelap ataupun pendedahan cahaya yang terlalu terang. Berbeza dengan cip lain, cip Turing ini direka khusus untuk aplikasi automotif dan pemanduan AI dengan keupayaan sehingga 3000 TOPS

Berbalik pada kenderaan yang diuji oleh penulis, walaupun hanya memiliki pengiraan sehingga 508 TOPS, sistem ini direka untuk latency sangat rendah. Ini bermakna sistem ini boleh membuat keputusan dalam masa sangat singkat dalam masa yang nyata kurang dari 1 saat dan tidak bergantung pada sistem data cloud seperti Tesla

Sebagai contoh, dalam pemanduan dalam bandar yang kacau bilau Guangzhou, kenderaan Xpeng sedang melalui satu simpang (atau selekoh ke kanan) dan secara tiba-tiba berdepan dengan satu kon yang terbalik di tengah-tengah jalan.

Mungkin sesetengah sistem pandu sendiri yang lain akan tergamam dan meminta pemandu mengambil alih, kenderaan Xpeng bertindak membrek perlahan dan cermat, mengelak ke kiri jalan dan menyambung semula perjalanan dengan tenang. Seolah-olah tiada apa yang berlaku dan semuanya berlangsung dalam masa kurang 1 saat

Situasi ini adalah antara ujian paling sukar untuk mana-mana sistem ADAS kerana pemandangan baru saja jelas selepas keluar selekoh. Dalam keadaan manusia pun kadang terkejut, sistem NGP Xpeng sangat cemerlang

Banyak sistem pemanduan sendiri lain termasuk Tesla FSD, kadang kala gagal mengelak objek kecil atau rendah seperti kon, terutama selepas keluar selekoh. XPeng pula berjaya melakukannya disebabkan sistem kemara yang sangat sensitif, disokong radar dan algoritma prediction yang ditala khas untuk trafik bandar China yang memang terkenal dengan objek pelik yang muncul secara tiba-tiba

Ini adalah pemerhatian penulis sepanjang menguji sistem NGP dengan 3 kenderaan Xpeng yang berbeza, sejauh 120km merangkumi jalan bandar serta lebuh raya, termasuk pada waktu malam.

1. AI NGP boleh menjangkakan trafik 5–6 saat lebih awal
NGP bukan menunggu situasi berlaku dulu baru bertindak. Ia sudah mula merancang sebelum penulis sendiri perasan ada kereta perlahan, motor nak mencilok, atau pejalan kaki menunggu untuk lintas. AI NGP beroperasi seperti pemandu berpengalaman, bukan pemandu tergesa-gesa.

2. Input stering dan pedal minyak sangat lancar

NGP menukar lorong dengan cermat yang dimulakan dengan penggunaan lampu isyarat, membrake secara progresif, dan memotong kereta lain yang lebih perlahan daripada halaju yang dibenarkan dengan sangat natural. NGP mengira, ruang, mengira kebarangkalian dan melaksanakan operasi pemanduan dengan cermat.

Pemandu hanya perlu pegang stering sebagai tanda mereka sedar dan tidak tidur. Cara operasi stering, pedal brek dan pedal minyak bukan seperti budak baru belajar memandu atau macam sesetengah pemandu Didi yang drive macam tengah kejar masa.

3. AI XPeng dilatih dengan “Urban Chaos Dataset”
China punya trafik memang huru hara merangkumi pejalan kaki yang tidak dijang, e-bike melintas sesuka hati atau melawan arus, kereta buat u turn secara tiba-tiba, dan kenderaan lain mencilok apbila ada peluang walaupun sempit.

Dataset inilah yang menjadikan XPeng sangat matang dalam bandar sebenar. Apabila digunakan di lebuh raya, NGP beroperasi dengan senang dan lancar. AI NGP belajar bukan dari trafik mengikut SOP, tapi dari trafik dunia sebenar yang ganas.

AI XPeng memandu seperti pemandu tempatan, tetapi versi yang sabar dan sopan. Jika dibandingkan dengan sistem FSD Tesla, Tesla lebih kuat dalam scaling AI dan software-first approach. Tapi XPeng mempunyai kelebihan besar dari segi tuning untuk situasi real-world yang kompleks dengan bantuan perkakasan kamera terkini dan pemprosesan cip yang lebih laju.

Trafik China adalah benchmark paling gila, dan apabila sistem NGP Xpeng boleh memandu sendiri tanpa drama, itu sudah menunjukkan tahap kematangannya. Semasa ujian berlangsung kenderaan yang dipandu dengan NGP, ia akan menunjukkan lampu yang berwarna turquoise/cyan pada bahagian belakang dan juga pada bahagian sisi kereta

Undang-undang jalan raya China juga menetapkan pemandu mesti bertanggungjawab sepenuhnya apabila memandu dengan menggunakan sistem NGP. Bagi penulis, ia adalah adil memandangkan NGP bukanlah sistem pemanduan sendiri tahap 3 walaupun berdasarkan pengalaman ia sebenarnya layak

Dalam pemanduan bandar dengan halaju yang terhad, sebenarnya pada hemat penulis penggunaan sistem NGP membantu menjadikan pemanduan lebih selamat dimana sistem ini akan mengekalkan halaju yang ditetapkan oleh pihak berkuasa dan pemandu tidak mengantuk dan penat disebabkan perlu mematuhi halaju

Secara tidak langsung ia akan menjadikan pemanduan semakin lancar dan tenang, bukan kelam kabut seperti pemandu tempatan. Teknologi ini juga membuktikan bahawa, Xpeng bukanlah syarikat automotif. Sebaliknya Xpeng adalah syarikat AI mobiliti dan peneraju dalam bidang AI mobiliti.

Google ads
Back to top button