
KENAPA ADA CHERY, JAECOO, OMODA, ICAUR, JETOUR? BANYAK BRAND SATU BAPAK?
Pada hemat penulis, Chery adalah satu jenama yang unik atau pening (bergantung pada pandangan anda) disebabkan jenama ini mengandungi dan memasarkan terlalu banyak jenama lain di bawah jenama Chery. Untuk pasaran Malaysia kita ada Omoda, Jaecoo, Jetour, Exeed, Luxeed, iCAR yang kelihatan berbeza, tapi sebenarnya semua jenama ini bernaung di bawah Chery Group.
Macam satu keluarga besar yang semua anak nak jadi influencer sendiri. Ini bukan kesilapan tapi ia adalah strategi yang disengajakan
Dari Chery QQ ke Chery Global
Kalau anda masih ingat mungkin 20 tahun lepas jenama Chery sinonim dengan kereta murah, contohnya anda mungkin Chery QQ, iaitu kereta kompak murah yang menjadi mangsa bahan mengutuk dan mengumpat dunia automotif satu ketika dulu
Tapi sekarang, Chery bukan lagi pengeluar kereta bajet China dimana Chery berjaya menjual kereta ke lebih 80 negara, memiliki pusat R&D di Eropah, Brazil, dan Amerika Selatan. Masalahnya, apabila Chery berkembang terlalu laju, dia mula hilang identiti sebagai kereta rakyat untuk pasaran China
Orang tidak tahu sama ada Chery kekal untuk mengejar Toyota atau hendak mencabar BMW. Untuk selesaikan masalah ini, Chery membuat keputusan paling berani dalam sejarah syarikat iaitu menghasilkan lebih banyak jenama berasingan.
Multi-Brand Strategy: Bila Satu Nama Tak Cukup
Dalam dunia jualan automotif, strategi pelbagai jenama bukan satu benda baru. Sebagai contoh mudah Toyota membawa jenama Lexus untuk segmen mewah, Honda dengan Acura, manakala Volkswagen memikiki jenama Audi, Skoda, dan Seat untuk pasaran yang lebih premium
Fungsi jenama ini membolehkan setiap jenama memberikan produk, jualan, servis serta keadah pemasaran yang berbeza supaya setiap pelanggan rasa dia dibina khas untuk dia. Masalahnya ialah strategi pelbagai jenama ini adalah mahal, kompleks, dan mudah gagal kalau tidak dikawal.
Mazda pernah mencuba pada 1990-an dengan jenama Autozam, Eunos, dan Efini, tapi semuanya kecundang selepas bubble economy Jepun runtuh.
Enam Jenama, Enam Watak Tapi Asalnya Chery
| Jenama | Fokus | Karakter |
|---|---|---|
| Chery | Jenama rakyat | SUV/ Kenderaan praktikal, sesuai untuk kegunaan keluarga |
| Omoda | Rekaan menarik & pasaran global urban | Gaya, teknologi, untuk pembeli muda. Design gaya orang muda |
| Jaecoo | Urban luxury & off-road | Vibe SUV Offorad rugged tapi elegan (Jaecoo 7, 8) |
| Jetour | SUV kembara & keluarga besar | Fokus pasaran domestik China, lebih besar & murah |
| iCAR | EV muda & fokus pada teknologi | Elektrik, digital native, lawan BYD Dolphin dan Xiaomi SU7 e |
| Exeed / Luxeed | Premium global luxury | Jenama mewah Chery. Exeed untuk Eropah; Luxeed (dengan Huawei) untuk EV kelas atas |
Untuk pasaran Malaysia, memang ada sesetengah model dijual di pusat jualan sama. Akan tetapi setiap satu jenama ada cerita dan DNA tersendiri, bukan sekadar tukar logo. Contohnya, Omoda dan Jaecoo mungkin berkongsi platform sama, tapi cara mereka dijual dan dipasarkan kepada pelanggan sangat berbeza.
Inilah strategi sebenar Chery dimana semua jenama ni berkongsi asas atau platform, enjin, transmisi malah sistem infotainment yang serupa dan modular. Ini bermakna kos R&D adalah sekali sahaja tapi dijual pada semua lapisan pengguna, dengan rekaan dan fokus pasaran berbeza
Risiko Tetap Ada, Produk Bertindih & Pelanggan Keliru
Tetapi strategi pelbagai jenama dalam satu jenama besar ini bukanlah tiada risiko. Sebagai contoh, Omoda 5 dan Jaecoo 7 nampak sangat sama dari segi saiz, harga, dan teknologi. Kalau penjual tidak pandai menjelaskan, pelanggan mungkin menganggap “ini kereta sama, tapi nama lain.”
Mazda dulu gagal disebabkan isu ini, banyak jenama tapi semua jual di showroom yang sama. Akhirnya orang keliru, dan jenama utama pun tenggelam. Tapi ada sebab kenapa strategi Chery ni nampak logik walaupun luar biasa:
1. Pasaran global sangat luas sekarang.
China mengeksport lebih kurang5 juta kereta tahun 2024 dan mereka perlukan banyak rekaan berbeza, jenama yang berbeza untuk pasaran berbeza. Afrika, Eropah, Asia Tenggara dengan semua pasaran ada cita rasa unik tersendiri.
2. Era digital bantu bezakan jenama dengan mudah.
Dulu Mazda mensasarkan produk mengikut umur atau gaya hidup kerana akses digital adalah terhad. Sekarang Chery boleh menggunakan TikTok, Instagram, dan algoritma untuk bentuk personaliti jenama dengan tepat. Omoda guna influencer muda. Jaecoo guna visual cinematic. Exeed guna pendekatan gaya Eropah
3. Pasaran China Unik
Sekiranya anda pernah mengembara ke China, anda akan perasan yang setiap wilayah diklasifikasikan dalam kategori yang berbeza. Ada bandar dan wilayah mendapat taraf sebagai first tier, second tier dan third tier.
Bandar maju seperti Shenzen, Beijing, Shanghai dan Guangzhou diklasifikasikan sebagai bandar maju, dan anda akan lihat setiap bandar atau wilayah akan didominasi dengan kereta yang berbeza jenama, trenkuasa, jenis dan rekaan badan
Mungkin di Shenzhen dan Shanghai anda akan lihat kereta elektrik mendominasi pengguna, manakala jika anda ke Beijing anda masih melihat kereta mewah Amerika masih lagi digunakan. Sekiranya anda ke bandar 2nd tier dan 3rd tier, SUV adalah pilihan utama
The Endgame: Dominasi Tanpa Stereotaip
Chery tahu satu perkara penting, kita tidak boleh paksa semua pembeli sukakan rekaan yang kita ada, jenama yang kita ada dan juga imej yang disediakan. Kita tawarkan semua pilihan yang kita mampu buat.
Sebab itu setiap jenama Chery kisahnya sendiri tetapi dengan teknologi yang sama
Chery = rakyat jelata.
Omoda = generasi muda yang suka gaya.
Jaecoo = profesional urban yang nak rugged tapi classy.
Exeed = bos yang nak status tanpa jenama Jerman.
iCAR = Gen Z yang baru kerja di start-up.
Dalam dunia yang menjadi hampir seragam, Chery berjaya buat sesuatu yang pelik tapi bijak iaitu menawarkan pilihan pada semua pelanggan tanpa kehilangan jiwa. Mazda dulu gagal disebabkan masa yang salah dan ekonomi, tapi Chery datang dalam konteks 2025 dimana multi brand adalah cara untuk ke pasaran global.