Buletin

YAMAHA 125ZR DIJUAL PADA HARGA RM85,000. INI BUKAN SEMBANG DERAS!

Seorang jurutera dilapor telah berjaya menjual sebuah Yamaha 125zr Go! pada harga yang cukup tinggi iaitu RM85,000 kepada seorang peminat model berkenaan dari Vietnam.

Mohamad Azehar Mat Siam, 29, dari Flat Sri Melaka, Cheras, Kuala Lumpur memberitahu Yamaha 125zr Go! edisi pelumba MotoGP, Valentino Rossi yang merupakan edisi khas tahun 2003 itu dijual secara tunai kepada lelaki yang hanya dikenali sebagai Chuong.

Berita itu kemudian tular di media sosial.

Azehar sendiri mengakui tidak percaya dan terkejut ada peminat tegar Yamaha 125zr yang sanggup membayar harga tinggi untuk membeli motosikalnya.

Jentera berwarna biru itu sebenarnya dibeli dibeli arwah ayahnya, Mat Siam Ismail pada 2003 kerana dia terlalu meminati pelumba MotoGP Itali itu.

Motosikal itu dibeli pada harga RM6,617.76 dan tidak pernah ditunggang dan tidak didaftarkan. Sayang nak guna, jadi motosikal itu hanya disimpan di dalam rumah selama 17 tahun.

“Saya sengaja letak harga RM85,000 supaya Chuong tidak jadi membelinya. Tetapi tidak sangka dia terus memasukkan wang pendahuluan ke dalam akaun bank sebanyak RM30,000 petang semalam.

“Pagi tadi, dia datang ke rumah untuk melihat motosikal itu dan terus bersetuju membelinya, sebelum membayar baki keseluruhan sebanyak RM55,000,” kata Azehar.

Chuong juga dikatakan membeli beberapa alat ganti motosikal Yamaha 125zr Go! original yang disimpan Azehar seperti tayar dan ‘cover set’ keluaran khas model itu pada harga RM5,000.

Wang hasil jualan itu akan disimpan dan dilaburkan.

Lebih menarik lagi, dia mengakui ada menyimpan semua alat ganti keluaran khas Yamaha 125zr Go! edisi Valentino Rossi untuk dijadikan koleksi peribadi.

Memandangkan koleksi itu sukar diperoleh sekarang, maka tidak hairanlah jika eminatnya sanggup membeli dengan harga tidak masuk akal.

Azehar mengakui dia memang sangat minat motosikal dan gemar membeli serta mengumpulnya sejak zaman sekolah.

Dia kini mempunyai sembilan motosikal iaitu dua motosikal Yamaha RX-Z, tiga Yamaha 125zr, tiga Honda EX5 dan sebuah Honda C70. – Harian Metro kredit foto: FB Cuong Nguyen

Google ads
Back to top button