BuletinMotosikal

YAMAHA TRICITY 155 ABS – OKAY KE 3 RODA?

Yamaha Tricity adalah motosikal unik tiga roda yang mula diperkenalkan pada April 2014. Menariknya pasaran pertama Tricity 125 ialah Thailand sebelum memasuki Jepun pada September tahun sama.

Tricity kemudian dipasarkan di beberapa negara lain termasuk Eropah.

Keunikan Tricity ialah pada dua roda depan yang turut condong ke sisi apabila membelok dan bukan sekata seperti pusingan kereta. Yamaha memanggilnya sebagai Leaning Multi Wheel (LMW).

Sejak diperkenalkan pada 2014, Tricity 125 sudah berevolusi kepada beberapa jenis model dengan enjin berbeza iaitu Tricity 155 dan Tricity 300.

Satu lagi LMW terkenal ialah Yamaha NIKEN yang berada dalam segmen Sport Touring.

Di Jepun, Yamaha mengumumkan penawaran Tricity 155 ABS dengan warna baharu. Model 2020 itu menemui pasaran pada 15 Mei.

Pembaharuan yang dibuat ialah warna kelabu dengan kemasan warna biru pada roda bagi menonjolkan lagi dua roda Tricity.

Dua lagi warna sedia ada iaitu putih dan kelabu kusam (matte grey) akan terus ditawarkan kepada bakal pembeli.

Tricity digerakkan enjin 155cm³ SOHC VVA dengan sistem suntikan bahan api. Tangki minyak pula berkapasiti 7.2 liter.

Enjin dengan teknologi BLUE CORE itu mempunyai output kuasa 15 ps pada 8,000 rpm dan tork 14 Nm pada 6,000 rpm.

Selain sistem brek ABS, Tricity dilengkapi sistem brek UBS (Unified Brake System) yang mengaktifkan agihan daya brek pada roda depan dan belakang.

Kelebihan sistem ini ialah dengan memberikan kestabilan sewaktu membrek dan ia beroperasi melalui kawalan elektronik.

Dari segi praktikaliti, ruang simpanan di bawah kerusi mempunyai saiz 23.5 liter dan turut dilengkapi lampu LED.

Untuk mengecas peranti pula slot 12V disediakan pada sebelah kanan panel dan tidak dilupakan cangkuk dengan had beban satu kilogram.

Di Jepun, Yamaha Tricity 155 ABS dijual pada harga 484,000 yen atau RM19,704.

Skuter LMW ini dipasang oleh Thai Yamaha Motor Co., Ltd. dan dieksport ke Jepun.

Memandangan Tricity ini dipasang di negara jiran, menarik juga jika ia dijual di negara, ada yang bersetuju?

Kredit foto: Yamaha

Google ads
Back to top button