Buletin

VW DAN DAIMLER GESA KERAJAAN JERMAN BERI INSENTIF KEPADA PEMBELI KERETA

Volkswagen dan Daimler menggesa kerajaan Jerman untuk membantu merancakkan permintaan terhadap kenderaan di pasaran tempatan. Penularan wabak COVID-19 menyebabkan kedua-dua pengeluar kenderaan utama Jerman itu terpaksa menilai semula jangkaan jualan untuk tahun ini.  

Gesaan itu timbul berikutan Chanselor Jerman, Angela Merkel sedang bersedia untuk mengadakan perjumpaan dengan pemain industri automotif.

Merkel akan berbincang cara untuk merancakkan kembali salah satu industri paling penting Jerman yang terjejas teruk akibat pandemik tersebut.

“Kami mahukan keputusan berkenaan insentif kepada pembeli. Insentif yang mudah pun akan menjadi efektif,” kata Ketua Eksekutif  Daimler, Ola Kaellenius.

Jualan kenderaan di seluruh dunia merudum teruk kerana bilik pameran terpaksa ditutup sepanjang tempoh kuarantin. Kilang juga dihentikan operasi menyebabkan banyak pengeluar memerlukan wang untuk tujuan pelaburan.

Volkswagen mengakui ia berdepan suku kedua yang sukar dan kenaikan dividen perlu dipertimbangkan semula. Februari lalu, Volkswagen bercadang untuk meningkatkan bayaran kepada 6.50 euro bagi setiap saham biasa dan 6.56 euro bagi saham terpilih.

Jualan kenderaan penumpang global dijangka jatuh sebanyak 15 hingga 20 peratus.

Volkswagen pada awal bulan ini menyatakan jualannya pada suku pertama 2020 turun sebanyak23 peratus berbanding tahun lalu. Ini menyebabkan keuntungan operasi merudum sehingga 81 peratus dalam tempoh tiga bulan.

Tags
Google ads
Back to top button