Buletin

ZARCO TERIMA PENALTI SEBABKAN KEMALANGAN DI MOTOGP AUSTRIA

Pelumba MotoGP, Johann Zarco dikenakan penalti memulakan perlumbaan dari pitlane.

Ia berikutan pelumba berasal dari Perancis itu didapati bersalah menunggang dengan cara tidak bertanggungjawab sehingga berlakunya kemalangan membabitkan Franco Morbidelli hujung minggu lalu di Austria.

Persekutuan Motosikal Antarabangsa (FIM) mengesahkan perkara berkenaan selepas melakukan penilaian semula terhadap insiden itu.

“Selepas penilaian semula terdapat bukti bahawa Johann Zarco mempamerkan tunggangan tidak bertanggungjawab, menyebabkan dia dikenakan penalti. Pelumba kelahiran Perancis itu akan memulakan aksi MotoGP seterusnya dari pitlane,” kata FIM.

Zarco bertembung dengan Franco Morbidelli dari Itali di Litar Red Bull Ring, Ahad lalu.Kedua-dua mereka melambung dari motosikal masing-masing hingga ke seberang jalan pada kelajuan 300 km/j.

Jentera Morbidelli yang melambung itu hanya beberapa sentimeter melepasi kepala Valentino Rossi mengakibatkan juara dunia sembilan kali dari Itali itu berang kerana jentera Yamaha itu ‘hampir membunuhnya’.

Zarco tidak menyertai sesi latihan bebas menjelang Grand Prix Styria, sirkit yang sama kerana melakukan pembedahan pergelangan tangan kanan pertengahan minggu lalu. -agensi

Google ads
Back to top button