Buletin

KAYUH BASIKAL SEJAUH 105 KM HANTAR ANAK DUDUKI PEPERIKSAAN

Seorang bapa sanggup mengayuh basikal sejauh 105 km semata-mata untuk memastikan anaknya tidak terlepas menduduki peperiksaan di Madhya Pradesh daerah Dhar, India.

Shobhram, 38, berasal dari perkampungan Baydipur di Manawar bertindak sedemikian apabila perkhidmatan pengangkutan awam tidak dapat beroperasi disebabkan perintah berkurung berikutan pandemik Covid-19.

Dia dikatakan mengayuh basikal sejauh 105 km dalam tempoh 8 jam pada 17 Ogos lalu.

“Kami berdepan kesukaran tetapi tidak mempunyai pilihan lain. Saya lakukan ini agar dia dapat pelajaran.

“Saya bekerja sebagai buruh di beberapa tempat dan mengumpul duit malah mengisi borang untuk anak saya.

“Kami memulakan perjalanan pada 17 Ogos lalu, dengan membawa sedikit bekalan makanan,” kata lelaki itu.

Anaknya, Ashish, 15,  berkata dia ingin menjadi pegawai apabila meningkat dewasa.

“Perkhidmatan bas tidak beroperasi jadi kami menggunakan basikal sebagai pengangkutan untuk datang ke pusat peperiksaan,” katanya.

Peperiksaan ulangan itu dijalankan di 14 buah pusat peperiksaan di Dhar bagi pelajar yang gagal subjek tertentu. – agensi

Google ads
Back to top button