Buletin

FABIO QUARTARARO ADA HARAPAN JUARA? INI STATISTIK BELIAU SETAKAT 20 PERLUMBAAN MOTOGP

Fabio Quartararo adalah pelumba generasi baharu yang mempunyai potensi untuk menjadi juara MotoGP. Ini bukan dakwaan atau ramalan tetapi berdasarkan fakta yang telah dicapai setakat ini.

Sebagai contoh beliau merupakan Pelumba Baru Tahunan (Rookie of the Year) pada musim 2019 dengan keputusan yang membanggakan.

Pusingan pada 19 Julai di Valencia adalah perlumbaan MotoGP beliau yang ke-20 dan turut melakar sejarah selain berjaya menduduki podium tempat pertama.

Fabio Quartararo adalah pelumba Perancis pertama yang memenangi kelas perdana selepas Regis Laconi menang pada Valencia GP 1999.

Beliau juga adalah juara pertama dari pasukan satelit Yamaha di dalam era MotoGP. Kali terakhir ialah Garry McCoy pada Valencia GP 2000 dalam kelas 500cc bersama pasukan WCM.

Selain itu, beliau adalah pelumba termuda kelapan yang memenangi kelas perdana pada usia 21 tahun dan 90 hari.

Fabio Quartararo mula bersaing dalam kelas MotoGP pada 2019 yang juga musim pertama untuk PETRONAS Yamaha SRT dan beliau menunjukkan belang pada pusingan pertama lagi di Qatar dengan mencatatkan masa pusingan terpantas.

Fabio Quartararo sekali lagi mengulangi rekod tersebut di Le Mans di hadapan peminat tempatan dan merupakan perlumbaan tuan rumah buat beliau.

Beliau juga adalah pelumba MotoGP termuda yang menduduki grid utama (pole sitter) di Jerez dan satu momen bersejarah apabila Franco Morbidelli menyertai turut berada di baris hadapan dengan mencatatkan masa kedua terpantas pada sesi kelayakan.

Secara keseluruhannya, pada musim 2019 Fabio Quartararo memperolehi sejumlah kejayaan seperti enam kedudukan grid utama, tujuh kali berdiri di podium dengan lima daripadanya di tempat kedua, empat rekod pusingan terpantas (Jerez, Assen, Buriram dan Sepang) dan tidak menghairankan apabila dinobat sebagai Pelumba Baru Tahun 2019.

Pengiktirafan tersebut sebenarnya diperolehi awal iaitu di Jepun pada masa perlumbaan masih lagi berbaki tiga pusingan. Fabio Quartararo turut membantu PETRONAS Yamaha SRT dalam meraih tempat pertama pasukan bebas dan dicapai pada musim pertama penyertaan.

Rehat yang lama tidak menumpulkan skil beliau walaupun lebih empat bulan berjauhan dengan jentera Yamaha YZR-M1.

Pada sesi hujung minggu di Valencia, Fabio Quartararo berjaya mencatat rekod pusingan terpantas dan dua kali memecahkan masa yang beliau sendiri cipta pada tahun 2019.

Di sana beliau memperolehi petak utama buat kali ketujuh dengan keputusan cemerlang apabila menjuarai perlumbaan pertama di dalam MotoGP.

Fabio Quartararo nampak begitu serasi dengan motosikal Yamaha YZR-M1 dan beliau benar-benar melonjak di dalam kelas MotoGP. Beliau bermula dengan Moto3 pada 2015 dan kemudian menyertai Moto2 dari 2017 hingga 2018.

Di dalam kategori Moto3, Fabio Quartararo tidak pernah menjadi juara pusingan manakala di dalam Moto2 hanya menjuarai pusingan Catalunya dan di kedudukan kesepuluh pada perlumbaan musim 2018.

Naik ke kelas MotoGP Fabio Quartararo terus cemerlang dengan menduduki tempat kelima pada 2019 dan tertinggi sepanjang karier sejak 2015.

Berdasarkan pencapaian dan prestasi yang ditunjukkan, kami optimis Fabio Quartararo bakal menjadi juara MotoGP satu hari nanti.

BACA: BERMAZ MOTOR JALIN KERJASAMA DENGAN PETRONAS. TERIMA BEKALAN MINYAK SINTETIK PENUH SELAMA 5 TAHUN

BACA: YAMAHA TRICITY 155 ABS – OKAY KE 3 RODA?

BACA: BAGAIMANA PETRONAS SYNTIUM ATASI MASALAH LSPI

Google ads
"
"
Back to top button