Buletin

ZEEKR 9X DILANCARKAN DI CHINA – JANA 1,381HP, JARAK GERAK SEHINGGA 1,250KM

Jenama kenderaan elektrik mewah di bawah Geely, Zeekr, kini melancarkan model terbaharunya iaitu Zeekr 9X, sebuah SUV plug-in hybrid bersaiz penuh. Harga jualan bermula dari 455,900 yuan (RM302,000) di pasaran China.

Sejak tempahan awal dibuka, sambutan amat menggalakkan apabila ia mencatat lebih 42,000 unit pesanan hanya dalam masa sejam.

Zeekr 9X hadir dengan ukuran 5,239mm panjang, 2,029mm lebar dan 1,819mm tinggi bersama jarak roda 3,169mm, menjadikannya lebih panjang dan lebar berbanding Mercedes-Benz GLS.

Reka bentuk luaran menampilkan lampu utama LED berbentuk C, gril besar dengan liang udara aktif, serta unit lampu belakang bulat. Model ini ditawarkan dalam lima pilihan warna badan dan rim aloi sehingga 22-inci.

SUV ini dilengkapi sistem suspensi udara berkembar dengan kawalan redaman berterusan. Ketinggian minimum ialah 178mm manakala maksimum boleh mencecah 288mm, sesuai untuk pelbagai keadaan jalan.

Lebih menarik, lampu hadapan mampu memproyeksikan imej di atas jalan untuk berkomunikasi dengan pejalan kaki atau pemandu lain.

Sistem kestabilan turut canggih, termasuk bar penstabil aktif 48V yang bukan sahaja mengurangkan olengan ketika membelok tajam, malah boleh meninggikan sebelah kenderaan ketika berisiko dilanggar dari sisi.

Bahagian dalaman menawarkan susun atur 6 tempat duduk (2+2+2) dengan beberapa pilihan warna termasuk biru tua, beige dan coklat. Konsol tengah menempatkan dua skrin 16-inci (atau satu skrin tunggal 16-inci dengan potongan harga 5,000 yuan / RM3,300), manakala penumpang belakang disediakan paparan 17-inci 3K di siling.

Ciri mewah lain termasuk kerusi urut 22 titik, meja lipat untuk penumpang baris kedua, tirai privasi di setiap tingkap, tempat duduk boleh pusing 180 darjah, pintu kuasa automatik serta pembantu suara AI “Eva”.

Varian asas menggunakan sistem G-Pilot H7 dengan cip Nvidia Thor-U 700 TOPS, manakala versi tertinggi hadir dengan lima penderia LiDAR serta dwi cip Nvidia Thor-U yang memberikan kuasa pemprosesan 1,400 TOPS.

Sistem ini menyokong Navigate on Autopilot (NOA), parkir automatik dan Automatic Emergency Steering yang mampu mengelak pelanggaran pada kelajuan sehingga 130km/j.

Zeekr 9X tersedia dengan beberapa konfigurasi:

  • Gabungan enjin 2.0L + 2 motor elektrik, berkuasa 885hp, bateri 55kWh, jarak elektrik 300km, jarak keseluruhan sehingga 1,200km, pecutan 0-100 km/j dalam 3.9 saat.
  • Versi dengan bateri 70kWh, jarak elektrik 380km, jarak keseluruhan 1,250km.
  • Varian paling berkuasa menggunakan 3 motor elektrik, menghasilkan 1,381hp, jarak elektrik 355km, pecutan 3.1 saat dari 0-100km/j.

Teknologi pengecasan pantas 900V 6C membolehkan bateri dicas dari 20-80 peratus hanya dalam 8 minit 21 saat. Menariknya, enjin petrol turut berfungsi mengecas bateri ketika kereta sedang dipandu di lebuh raya.

Zeekr 9X ditawarkan dalam empat varian – Max, Ultra, Hyper, dan Obsidian Black, dengan harga antara 455,900 yuan hingga 599,900 yuan (RM302,000 – RM397,000). Pembeli awal sebelum akhir tahun 2025 turut menerima rebat sebanyak 10,000 yuan (RM6,600).

Google ads
Back to top button