Artikel Pilihan

LAMPU ISYARAT HIJAU DI JEPUN SEBENARNYA WARNA BIRU?

Jepun, negara matahari terbit, terkenal sebagai sebuah tempat yang kaya dengan sejarah, berakar umbi pada tradisi yang kuat. Tetapi pada masa sama menjadi pusat teknologi tercanggih dunia. Untuk peminat automotif, “car spotting” di Jepun memang berada di tahap lain, penuh dengan model kereta unik yang mencerminkan budaya tempatan.

Namun, ada satu perkara pelik yang selalu buat pelancong tertanya-tanya iaitu kenapa lampu isyarat hijau di Jepun kadang-kadang kelihatan biru?

Peranan Perjanjian Antarabangsa

Pada tahun 1968, Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tentang Tanda dan Isyarat Jalan Raya telah ditandatangani oleh 35 negara, dan kini diterima pakai oleh lebih 75 negara (kecuali Jepun dan Amerika Syarikat). Artikel 23 dalam perjanjian ini jelas menetapkan bahawa hijau bermaksud jalan, merah bermaksud berhenti.

Masalah Bahasa Jepun: “Ao” vs “Midori”

Secara tradisional, bahasa Jepun menggunakan perkataan “ao” (青) untuk merujuk kedua-dua warna biru dan hijau. Perkataan moden untuk hijau ialah “midori” (緑), tetapi kerana masyarakat Jepun sudah terbiasa dengan “ao” sebagai warna lampu isyarat, timbul dilema rasmi.

Warna hijau lampu isyarat nak panggil apa sebenarnya?

Nak tukar terus lampu kepada biru tulen melanggar piawaian antarabangsa. Jadi, pada awal 1970-an, Jepun pilih kompromi iaitu menggunakan warna biru-hijau kadang-kadang dipanggil grue atau bleen supaya lampu masih nampak hijau, tapi boleh tetap dipanggil “ao.”

Warna dalam Budaya Jepun

Sejarah bahasa Jepun lama hanya mengenali empat warna utama: biru, merah, hitam, dan putih. Konsep warna lain datang kemudian.

Sebab itu, walaupun Jepun moden sudah ada perkataan khusus untuk hijau (midori) dan biru (ao), masyarakat masih kerap guna “ao” untuk benda hijau. Contohnya, epal hijau Granny Smith dipanggil aoringo (“epal biru”).

Lampu Isyarat: Dari Hijau ke “Ao”

Menurut pakar bahasa dan budaya Jepun, Katsuhiro Ito, lampu trafik yang diperkenalkan pada 1930-an asalnya memang hijau dan kadang-kadang dipanggil midori. Tapi selepas Perang Dunia Kedua, Akta Lalu Lintas Jalan Jepun menetapkan isyarat itu sebagai ao. Sejak itu, orang Jepun tetap panggil lampu hijau sebagai “lampu biru.”

Kesimpulan

Bagi mata orang luar, lampu hijau Jepun mungkin nampak sedikit kebiruan. Tapi bagi orang Jepun, ia tetap “ao”, satu warisan linguistik yang masih kekal walaupun dunia sudah menyeragamkan warna lampu isyarat. Inilah antara contoh kecil bagaimana bahasa, budaya, dan teknologi bertemu dalam cara unik Jepun.

Google ads
Back to top button