
ZEEKR BUKA PUSAT PAMERAN BAHARU DI KLCC
Jenama kenderaan elektrik premium Zeekr mengukuhkan lagi kehadirannya di Malaysia dengan pelancaran Zeekr Center KLCC, hasil kerjasama dengan pengedar sahnya, Preeminent Auto Sdn Bhd.
Terletak di kawasan segitiga emas ibu kota, pusat pameran berkeluasan 4,800 kaki persegi itu menjadi mercu baharu pengalaman runcit Zeekr di Malaysia.
Ia mampu mempamerkan sehingga lima model kenderaan pada satu masa, selain dilengkapi tiga unit pengecas AC untuk kemudahan pelanggan.

Rekaan fasadnya yang moden dengan panel kaca penuh dari lantai hingga ke siling memberi suasana mewah dan terang, manakala sentuhan rona gelap dengan aksen oren menampilkan gaya elegan serta dinamik.
Pusat ini juga merupakan bilik pameran utama Preeminent Auto selepas kejayaan Zeekr Center IOI Mall Puchong.
Pengarah Urusan Zeekr Asia Tenggara, Alex Bao, menyatakan rasa teruja dengan sambutan positif rakyat Malaysia terhadap jenama itu.

Katanya, pembukaan pusat baharu ini membuktikan komitmen jangka panjang Zeekr untuk menawarkan mobiliti elektrik mewah yang lebih mudah dicapai, sambil memperluas rangkaian jualan dan pemasaran di rantau ini.
Seiring dengan pembukaan Zeekr Center KLCC, Zeekr Malaysia turut mengumumkan harga rasmi Zeekr 009 Executive iaitu RM299,800 (atas jalan tanpa insurans).
Tawaran ini disertakan dengan jaminan kenderaan lima tahun/150,000km, jaminan bateri lapan tahun/160,000km serta perkhidmatan berhubung percuma selama setahun untuk akses aplikasi Zeekr, navigasi terbina dan kemas kini perisian melalui OTA.

Untuk memudahkan pemilik baharu, pakej percuma turut diberikan merangkumi pengecas dinding 11kW, pengecas mudah alih serta filem solar tinting.
Menariknya, harga baharu ini lebih rendah berbanding pengenalan awal varian sama pada Mei lalu yang ditawarkan pada RM310,000.
Zeekr 009 Executive menggunakan konfigurasi pacuan roda hadapan dengan motor tunggal dan mampu mencapai jarak sehingga 604km (WLTP) sekali cas.
Model MPV elektrik ini menekankan keseimbangan antara jarak perjalanan yang panjang, keselesaan premium serta teknologi keselamatan terkini.
Dengan kabin berkonsepkan ‘lounge’, sistem hiburan imersif dan rangkaian ciri pintar, Zeekr 009 Executive dilihat menetapkan penanda aras baharu dalam segmen MPV elektrik mewah di Malaysia.
- BACA: PEMILIKAN RUMAH, KERETA MEWAH ANTARA DIPERTIMBANG TENTU KELAYAKAN TERIMA SUBSIDI RON95
- BACA: BRIDGESTONE HASILKAN TAYAR POTENZA SPORT KHUSUS UNTUK LAMBORGHINI FENOMENO
- BACA: KEKAL KOMITED DENGAN MOTOGP, SIC NAFI MAHU FORMULA 1 KEMBALI
- BACA: LUCID GRAVITY X CONCEPT – SEBUAH SUV EV YANG LASAK UNTUK KEMBARA KE LUAR KOTA









