
KANTOI? ZEEKR DIDAKWA JUAL KERETA LAMA SEBAGAI BAHARU – INI FAKTA SEBENAR!
Jenama kenderaan elektrik premium milik Geely, Zeekr, tampil menafikan dakwaan bahawa ia menjual kenderaan terpakai berkilometer sifar sebagai kereta baharu, seperti dilaporkan oleh China Securities Journal.
Laporan tersebut mendakwa Zeekr menjual model yang telah diinsuranskan atau didaftarkan atas nama syarikat pihak ketiga sejak Mei 2025, tanpa pembuktian yang jelas kepada pembeli.
Menjawab tuduhan itu menerusi kenyataan rasmi bertarikh 19 Julai, Zeekr menjelaskan bahawa semua kenderaan yang dimaksudkan adalah model pameran yang tidak pernah didaftarkan, dikeluarkan invois, mahupun dijual kepada individu.
Meskipun kenderaan tersebut telah dilindungi insurans semasa dalam tempoh pameran, Zeekr menegaskan status mereka kekal sebagai unit baharu dari segi undang-undang.

Zeekr turut memaklumkan bahawa penjualan kereta pameran pada harga diskaun selepas tiga hingga lima bulan penyimpanan adalah amalan biasa dalam industri.
Setiap unit juga disertakan maklumat lengkap mengenai sejarah pamerannya, dan pembeli kekal menikmati hak sebagai pemilik pertama termasuk perlindungan waranti dan faedah pengguna penuh.
Sebagai respons kepada kebimbangan awam, Zeekr telah menubuhkan pasukan khas dalaman bagi menilai amalan jualan di peringkat pengedar yang disebut dalam laporan media.
Syarikat itu berkata ia bersedia mengambil tindakan pembetulan yang wajar demi memastikan pengalaman pembelian yang telus dan adil.
Zeekr turut menegaskan bahawa status kenderaan dinyatakan secara jelas pada platform pembelian dalam talian untuk mengelakkan kekeliruan.
Akhir sekali, Zeekr menghargai maklum balas pelanggan dan menyatakan komitmen untuk terus menambah baik komunikasi serta khidmat s elepas jualan, selain bekerjasama dengan pihak industri bagi memupuk persekitaran perniagaan yang mampan untuk kenderaan tenaga baharu.
- BACA: SYM CRUISYM 400 LANCAR DI MALAYSIA SEPTEMBER INI – 34HP, 39.5NM
- BACA: WRC 2025 – KISAH DONGENG OLIVER SOLBERG YANG MENANG DI DELFI RALLY ESTONIA
- BACA: HANYA DI AUTOFEST 2025 – PELUANG MENANG KERETA DAN NIKMATI REBAT LUAR BIASA
- BACA: GARIS MASA PELAKSANAAN SUBSIDI BERSASAR RON95 DIANJAK SEDIKIT








