
ZEEKR 9X: SUV PHEV 6 TEMPAT DUDUK JANA 1,381HP, LANCAR OGOS INI DI CHINA
Zeekr, jenama mewah milik Geely, bersedia menggegarkan pasaran SUV hibrid plug-in dengan model terbarunya iaitu Zeekr 9X, sebuah kenderaan prestasi tinggi yang akan mula dibuka untuk pra-tempahan di China menjelang penghujung Ogos 2025.
Direka sebagai SUV segmen penuh dengan susun atur 6 tempat duduk (2+2+2), Zeekr 9X bukan calang-calang pesaing. Ia menjanjikan gabungan kuasa puncak sehingga 1,381hp, pecutan 0–100 km/j dalam masa hanya 3.1 saat, dan jarak pemanduan melebihi 1,000km hasil sistem hibrid canggih.
Platform Baharu & Bateri Gergasi
Menjadi model pertama menggunakan platform SEA-S modular, Zeekr 9X memperkenalkan teknologi Haohan Hybrid yang menggunakan bateri buatan CATL berkapasiti besar 70kWh, antara yang terbesar untuk model PHEV.

Ia mampu memberikan jarak pemanduan elektrik sepenuhnya sehingga 380km (berdasarkan kitaran CLTC), serta menyokong pengecasan 6C melalui sistem 900V, membolehkan bateri dicas dari 20% ke 80% hanya dalam 9 minit.
Prestasi Setanding 3 Enjin V12
Gabungan enjin petrol 2.0L turbo (275 hp) dan tiga motor elektrik berasaskan silikon karbida menghasilkan kuasa luar biasa. Zeekr mendakwa prestasinya menyamai tiga enjin V12. Kelajuan maksimum SUV ini mencecah 240 km/j, menjadikannya antara SUV hibrid terpantas di dunia.
Kejuruteraan Casis Canggih

Untuk pengendalian dan keselesaan, Zeekr 9X dilengkapi sistem suspensi udara dua ruang dengan teknologi dwi-injap CDC, membolehkan pelarasan ketinggian sehingga 288mm. Ia turut mempunyai bar penstabil aktif 48V serta sistem AI yang menyesuaikan suspensi secara automatik mengikut jenis permukaan seperti lumpur, pasir serta batu.
Struktur badan SUV ini juga dibina kukuh, dengan 91% diperbuat daripada keluli tegangan tinggi dan aluminium serta ketegaran kilasan 41,600 Nm/degree.
Sistem Bantuan Pemandu Bertaraf L3
Varian tertinggi Zeekr 9X hadir dengan sistem G-Pilot H9 yang sedia untuk pemanduan autonomi Tahap 3 (L3), lengkap dengan 5 penderia LiDAR dan cip Nvidia Drive Thor berganda dengan kuasa pemprosesan 1,400 TOPS. Varian asas pula dilengkapi sistem G-Pilot H7 berkuasa 700 TOPS.


Kabin Mewah dengan Sentuhan Inovatif
Bahagian dalaman Zeekr 9X menawarkan pengalaman premium dengan tempat duduk kapten di barisan kedua yang dilengkapi fungsi zero-gravity dan perehat kaki elektrik.
Di hadapan, tempat duduk dengan pembesar suara terbina dalam pada penyandar kepala, skrin terapung besar di tengah papan pemuka, dan butang kawalan sentuhan fizikal mengangkat imej mewah kenderaan ini.
Konsol tengah menempatkan dua pad pengecasan tanpa wayar, penukar mod pemanduan kristal, dan trim kayu asli.
Menariknya, tuil gear utama dipasang di belakang stereng bentuk-D, manakala butang pelarasan tempat duduk dan pintu menggantikan pemegang tradisional.

Pelancaran Rasmi Menjelang Suku Ketiga 2025
Selepas dibuka untuk pra-tempahan pada Ogos 2025, Zeekr 9X dijangka memasuki pasaran China secara rasmi pada suku ketiga tahun ini.
Ia bakal mencabar SUV besar seperti BYD Yangwang U8 dan model dari pengeluar jenama mapan.
- BACA: SUBARU TAMPIL SEBAGAI PENAJA UNTUK FOREST RALLY STAGE DI GOODWOOD FESTIAL OF SPEED 2025
- BACA: NISSAN PENING – NISSAN LEAF 2026 BELUM DILANCARKAN TAPI DAH ADA MASALAH!
- BACA: SHELL RAIKAN PELANGGAN SETIA DENGAN HADIAH FORD RANGER DAN SUZUKI JIMNY
- BACA: GAYA BIKER. GANJARAN POWER. INILAH KAD KREDIT SEBENAR UNTUK RIDER








