
ZEEKR SUNWAY RASMI DIBUKA: BILIK PAMERAN DAN PUSAT SERVIS DILANCARKAN DENGAN PELABURAN RM10 JUTA
Sunway Marketing, rakan pengedar rasmi pertama Zeekr di Malaysia, kini melakar satu lagi pencapaian penting dengan pelancaran rasmi Zeekr Space Sunway City dan Zeekr Sunway Service Centre, dua fasiliti serba lengkap yang menandakan komitmen jenama ini dalam memperkukuh kehadirannya di pasaran Malaysia.
Dengan pelaburan melebihi RM10 juta, kemudahan baharu ini merangkumi dua pusat sentuhan pelanggan utama yang terletak di tengah-tengah Sunway City Kuala Lumpur, menjadikannya hab serantau baharu bagi pemilik dan bakal pemilik kenderaan Zeekr.
Zeekr Space Sunway City kini menghuni ruang seluas 11,100 kaki persegi di Persiaran Lagoon, kawasan yang dahulunya menempatkan helipad ikonik Sunway.

Reka bentuk flagship showroom ini memberi ruang untuk enam unit pameran kenderaan, termasuk model terkini seperti Zeekr X dan Zeekr 009, selain dua ruang penyerahan kenderaan yang direka khas untuk meraikan detik istimewa bersama pemilik baharu.
Bukan sekadar pusat pameran, Zeekr Space Sunway City juga dilengkapi dengan lounge premium untuk keselesaan pelanggan, ruang diskusi bersama wakil jualan dan pakar produk, serta empat pengecas AC untuk kenderaan elektrik.
Selain itu, pengecas pantas DC turut dirancang untuk ditambah tidak lama lagi.

Melengkapkan pengalaman pemilikan, Zeekr Sunway Service Centre terletak hanya beberapa minit dari showroom utama.
Beroperasi di Jalan Lagoon Selatan, pusat servis ini menyediakan kawasan nasihat pelanggan, ruang menunggu yang selesa, serta kemudahan diagnostik dan penyelenggaraan terkini.
Ruang storan alat ganti turut disediakan bagi memastikan kelancaran bekalan dalam menghadapi permintaan selepas jualan yang semakin meningkat.
Menyedari potensi pertumbuhan pesat jenama ini, pusat servis tersebut turut direka dengan fleksibiliti untuk diperluas sehingga 20,000 kaki persegi.

600 Unit Sudah Diserahkan – Sunway Terus Mengorak Langkah
Sejak penghantaran pertama pada Disember 2024, Sunway Marketing telah berjaya menyerahkan lebih 600 unit kenderaan Zeekr, mencerminkan sambutan positif pengguna terhadap jenama ini.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Sunway Trading & Manufacturing, Encik Yeoh Yuen Chee, pelancaran ini bukan sahaja memperluas perniagaan automotif Sunway, tetapi juga menyumbang kepada pembangunan ekosistem kenderaan tenaga baharu (NEV) di Malaysia.
Sebagai tanda penghargaan, pelanggan berpeluang memenangi sebuah Zeekr X Premium melalui peraduan “Win-a-Zeekr” yang berlangsung hingga 30 September 2025.
Setiap pembelian dan penghantaran kenderaan Zeekr melalui Zeekr Space Sunway City atau Zeekr Space Petaling Jaya akan melayakkan pelanggan untuk penyertaan cabutan bertuah, satu untuk pembelian Zeekr X, dua untuk Zeekr 7X dan tiga untuk Zeekr 009.
Waktu Operasi
Zeekr Space Sunway City dibuka setiap hari dari 9 pagi hingga 7 malam (Isnin hingga Sabtu), dan 10 pagi hingga 5 petang (Ahad).
Zeekr Sunway Service Centre pula beroperasi dari 9 pagi hingga 6 petang (Isnin hingga Jumaat), dan dari 9 pagi hingga 1 petang pada hari Sabtu.






