
ZEEKR KINI 100 PERATUS MILIK GEELY – FOKUS PENUH PADA TEKNOLOGI EV
Geely Holding Group mengumumkan satu langkah strategik besar apabila anak syarikatnya, Geely Automobile, menandatangani perjanjian penggabungan rasmi dengan Zeekr Technology, jenama kenderaan elektrik mewah yang hanya disenaraikan di New York Stock Exchange (NYSE) pada 2024.
Melalui penggabungan ini, Geely akan membeli semua saham Zeekr yang belum dimilikinya, dengan proses dijangka selesai menjelang suku keempat 2025.
Ini sekaligus akan menjadikan Zeekr sebagai syarikat milik penuh Geely dan membawa kepada penyahsenaraian Zeekr daripada pasaran saham Amerika Syarikat.
Berdasarkan perjanjian tersebut, pemegang saham Zeekr boleh memilih antara menerima tunai atau saham Geely sebagai balasan.

Untuk setiap saham biasa Zeekr, pemilik boleh memilih bayaran tunai sebanyak AS$2.687 (kira-kira RM12.60) atau 1.23 saham Geely. Bagi saham depositari Amerika (ADS), mereka boleh memilih antara AS$26.87 (sekitar RM126) tunai atau 12.3 saham Geely yang akan diberikan dalam bentuk ADS Geely.
Harga terbitan untuk saham pertimbangan ini ialah HKD17.15 (anggaran RM10.30), mewakili premium kira-kira 2.4 peratus berbanding harga penutupan saham Geely sebelum tawaran diumumkan.
Dengan selesainya proses ini, Zeekr akan menjadi 100 peratus milik Geely, meningkat daripada pemilikan semasa sebanyak 62.8 peratus berdasarkan pencairan penuh.
Walaupun baru dalam industri, Zeekr menunjukkan prestasi yang kukuh. Dalam tiga bulan pertama tahun 2025, gabungan jenama Zeekr dan Lynk & Co menghantar lebih 114,000 kenderaan, peningkatan 21.1 peratus berbanding tahun sebelumnya. Bahagian Zeekr sahaja menyumbang lebih 41,000 unit, naik 25.2 peratus.
Menurut laporan dari media China, qbitai, penggabungan ini dijangka mempertingkatkan kecekapan operasi. Misalnya, hasil kerjasama dalam penyelidikan dan pembangunan antara Zeekr dan Lynk & Co telah berjaya mengurangkan kos R&D sebanyak 15 peratus.
Dengan menjadi entiti persendirian, Zeekr dijangka dapat menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap pembangunan produk dan teknologi, tanpa tekanan dari pelabur pasaran terbuka.
Bagi Geely pula, langkah ini bukan sekadar pengambilalihan, tetapi merupakan usaha untuk menyatukan jenama kenderaan tenaga baharu (NEV) pintar mereka di bawah satu rangka kerja yang lebih efisien dan sinergistik.







