Buletin

PASUKAN SALADIN RALLYING BANGKIT MENGHARUNGI CABARAN DI MAM MALAYSIA FESTIVAL OF SPEED RALLY 2025

Pasukan Saladin Rallying membuktikan semangat juang di MAM Malaysian Festival of Speed Rally 2025 pada 16–17 Ogos lalu, setelah berjaya mengharungi pelbagai cabaran saat akhir dan kekangan kewangan dengan dua penyertaan dalam perlumbaan berprestij tersebut.

Secara mengejut, Saladin Mazlan dan Arish Qutb berjaya mendapatkan sebuah jentera Subaru Impreza hanya 48 jam sebelum permulaan rali untuk berlumba kali ini. Tanpa sokongan penaja dan tanpa sesi ujian, pasangan ini mencuri perhatian apabila mencatat masa kedua terpantas di SS1, hanya sembilan saat di belakang pendahulu.

Namun, masalah suspensi bermula di SS2 dan akhirnya mereka terpaksa menarik diri selepas SS4. Sementara itu, pasangan muda Ibrahim Saladin dan Shazwan Akif dengan memandu jentera Proton Satria Neo melalui perlumbaan rali yang cukup mencabar.

 Menghadapi masalah brek yang serius, terperangkap dalam parit serta tayar pancit, mereka tetap meneruskan perlumbaan sehingga tamat dan menamatkan saingan di tempat ke-12 keseluruhan dan ke-3 dalam kelas, satu pengalaman pembelajaran berharga untuk masa depan.

Sejak membuat kemunculan semula pada akhir 2022, pasukan Saladin Rallying bertekad untuk melahirkan bakat baharu dan menghidupkan semula rali di Malaysia, yang semakin malap selepas ketiadaan Kejohanan Rali Kebangsaan sejak 2019.

Walaupun telah menarik minat melalui media sosial dengan penyertaan di Malaysia, Thailand dan China, pasukan ini terus berdepan kesulitan kewangan yang serius. “Kami berjuang untuk memastikan sukan rali di Malaysia terus hidup,” kata pengurus pasukan Saladin Mazlan. “Matlamat kami bukan sekadar berlumba, tetapi membina semula kejohanan yang teratur serta memberi peluang kepada generasi pelumba baharu.

Namun tanpa sokongan penajaan, misi ini sukar dicapai.” Saladin Rallying mengalu-alukan rakan kongsi dan penaja untuk bersama-sama dalam usaha menghidupkan semula sukan rali Malaysia, serta menyokong bakat tempatan dan antarabangsa.

BACA : SALADIN MAZLAN MELAKUKANNYA SEKALI LAGI. PODIUM DI RAAT THAILAND RALLY CHAMPIONSHIP RD. 4

BACA : KBS RALLY SPRINT RD 1 – SALADIN MAZLAN MENANG DENGAN BERGAYA

Google ads

B K

Back to top button