TIGA KERETA PALING DIMINATI SEPANJANG DEKAD 80 AN – TUA MUDA PUN SAMA NAIK
Sebagai orang lama, dekad 80 an seakan masih terbayang di fikiran kami. Bas mini, lori buatan Mercedes dengan sesungut di kiri kanan, scrambler dan semestinya siri TV yang ikonik adalah kenangan yang tak dapat dilupakan. Menariknya kebanyakan siri TV 80 an menggunakan kereta-kereta yang cukup menarik dan menarik minat penonton.
Ramai yang sabar menghadap televisyen bersaiz akuarium untuk menyaksikan siri TV pilihan yang hanya disiarkan seminggu sekali. Ya, seminggu sekali dik bukan hari-hari ulang macam kat saluran berbayar korang tu. Bayang watak utama melawan penjahat sambil memandu kereta yang sejuk (cool). Fuh boleh jatuh peranakan sebab terlalu teruja.
Inilah dia 3 kereta paling popular dekad 80 an dan kesemuanya disiarkan oleh stesen televisyen tempatan ketika itu.
Van “The A-Team”
Ya, betul dik. Memang ia sebuah van. Malah zaman ni tak wujud lagi istilah MPV tu. Inilah van ikonik yang digunakan oleh The A-Team untuk melawan penjahat dan melarikan diri daru buruan polis tentera yang memburu mereka.
Siri TV ikonik ini sarat dengan aksi letupan dan tembak menembak tapi yang peliknya tak seorang pun mati dalam siri ini. Van ini tidak mempunyai nama samaran tapi kemunculannya memang ditunggu-tunggu peminat siri ini.
Van ini sebenarnya ialah GMC Vandura keluaran tahun 1983 dan dilengkapi dengan spoiler belakang, arca roda yang besar selain cat yang menonjol. Masih sebuah van tapi ia merupakan salah sebuah kenderaan paling popular untuk siri TV.
Ferrari 308 GTS “Magnum P.I.”
Siapa tak kenal dengan Thomas Magnum satu ketika dahulu. Watak penyiasat persendirian bermisai dan sentiasa mengenakan kemeja Hawaii dan seluar pendek lakonan Tom Selleck. Kereta yang dipandu beliau bukan calang-calang. Ferrari 308 GTS boh. James Bond pun tak pernah pakai Ferrari.
Magnum merupakan antara watak hero pertama yang menggunakan Ferrari sebelum kemunculan satu lagi siri TV kepolisan baru yang menampilkan watak utama yang juga memandu Ferrari. Miami Vice yang menampilkan Don Johnson sebagai Detektif Sonny Crocket.
Magnum P.I. kini diterbitkan dalam versi moden tapi masih menggunakan Ferrari.
K.I.T.T.
Ini tak payah diperkenalkan lagi. KITT merupakan sebuah kereta boleh bercakap dan merupakan kereta dari siri TV yang paling popular. Berbeza dari siri TV lain, watak utama Knight Rider bagi kami ialah KITT sendiri. Kereta itu sendiri yang sangat cool, muzik latar yang malar hijau dan pelakon yang popular ketika itu membuatkan siri ini bertahan selama beberapa musim.
KITT diasaskan daripada Pontiac Firebird Trans Am tahun 1982. Nama asal kereta ini pun dah sangat macho. Ia kemudian diubahsuai untuk siri terutamanya pada bahagian dalaman dan hadapan khususnya lampu merah ikonik pada penutup enjin.
Banyak lagi siri TV lain yang ada kereta hebat tapi ini merupakan tiga yang paling popular dan memang ditayangkan di sini.