Buletin

SEMPENA ULANG TAHUN KE-80, OTTOCAR J BELI PORSCHE KE-80

Figura bernama Ottocar J sudah berusia 80 tahun, malah dia memiliki sebanyak 80 jentera jenama Porsche.

Lelaki menetap di Vienna,Austria itu baharu sahaja membeli Boxster Spyder berwarna biru (Miami Blue) melengkapkan pembelian 80 kenderaan jenama Porsche sepanjang beberapa dekad lalu.

Bahkan, Ottocar merupakan antara pelanggan Porsche yang diberi penghormatan untuk meletakkan sendiri lencana jenama tersebut pada hud Boxster Spyder miliknya di kilang Zuffenhausen.

Kalau ada orang yang membuat senarai peminat Porsche, nama lelaki itu akan berada pada carta teratas.

Ottocar berkata minat terhadap Porsche bermula kira-kira 50 tahun lalu apabila sebuah jentera jenama berkenaan lalu di hadapannya.

Sejak beberapa tahun selepas itu, dia mula mengumpul wang dan berjaya memiliki Porsche pertamanya, 911 yang didatangkan dengan warna kuning (Speed Yellow).

Lelaki tersebut terus menambah koleksi jentera Porsche pada beberapa dekad selepas itu termasuk model 917 dan 910 yang mendapat khidmat enjin lapan silinder.

Selain itu, dia juga membeli model 904 dengan enjin asli Fuhrmann dan 956.

Antara koleksi lain termasuk model 356 Coupe, 911, 911 RS 2.7, 930 Turbo serta kenderaan tentera Jagdwagen.

Secara keseluruhan, Ottocar membeli sebanyak 80 buah jentera Porsche dan kini memiliki 38 sahaja.

“Saya boleh memandu sebuah kereta untuk setiap hari selama sebulan, dan dua lagi pada hujung minggu.”jelasnya.

Minat Ottocar terhadap Porsche bukan setakat membeli dan memandu sahaja tetapi dia memiliki garaj yang besar untuk menyimpan koleksinya.

Bukan sahaja jentera, dia turut mengumpul pelbagai jenis memori poster, trofi dan poster perlumbaan yang memenuhi setiap sudut bangunan garaj.

Dalam pada itu, Ottocar tidak memberitahu kereta mana yang menjadi kegemaran walaupun kerap memilih Boxster Spyder Type 981 sebagai jentera pilihan untuk dipandu.

“Tanpa manusia, kereta hanyalah kereta. Manusia yang menyuntik ‘nyawa’ pada jentera-jentera ini,” katanya. -agensi

Google ads
Back to top button