10 VIDEO GAME PERLUMBAAN KERETA TERBAIK SEPANJANG ZAMAN
Permainan video sudah menjadi satu kemestian bagi budak-budak dan sesetengah bapak budak di zaman moden ini. Ia juga menjadi semakin realistik berbanding sewaktu mula-mula diperkenalkan dahulu.
Kali ini kami akan mengimbau kembali sepuluh permainan video perlumbaan kereta terbaik. Ia bukan satu tugas mudah dan ia dinilai bukan hanya untuk permainan keluaran terbaru tetapi juga permainan perlumbaan konsep sama yang pernah menjadi kegilaan kita semua suatu waktu dahulu. Zaman di mana Playstation belum wujud lagi.
BACA: 10 LITAR LUMBA PALING BERBAHAYA DI DUNIA
Bukan mudah untuk memilih dikalangan ratusan malah ribuan permainan versi perlumbaan yang dikeluarkan oleh nama francais seperti Gran Turismo dan Forza Motorsport menjadi terlalu dominan.
Namun jangan lupa lama sebelum mereka sudah ada francais terdahulu yang telah menghiburkan ramai peminat di dunia ini.
Mungkin anda ada pilihan permainan anda sendiri, biasalah selera masing-masing. Malah kami di Mekanika pun dah penat bertekak tentang permainan mana yang lebih menarik, jadi kita tengok sepuluh permainan video terbaik pilihan kami.
1. OUT RUN
Out Run versi asal dikeluarkan dalam bentuk mesin arked video oleh Sega pada tahun 1986 dan menjadi permainan best-seller dalam masa yang singkat.
Permainan ini cukup mudah dengan pemainnya mengawal sebuah Ferrrari Testarossa Spider dari kedudukan di belakang kereta (sudut pandangan pihak ketiga). Pemain juga boleh memilih tahap kesukaran dalam setiap sesi perlumbaan.
Out Run juga boleh didapati dalam versi Master System dan konsol Genesis. Baru-baru ini ia juga dikeluarkan kembali untuk platform Nintendo 3DS.
2. F-ZERO GX
Jika memiliki set alat permainan Super Nintendo rasanya anda juga akan mempunyai koleksi permainan F-Zero GX walaupun anda bukan seorang peminat kereta.
Ini kerana pada waktu ia dikeluarkan, permainan ini merupakan satu perlumbaan futuristik yang menawarkan paparan grafik, kelajuan dan kawalan permainan yang terbaik. Pemilik GameCube juga cukup bertuah kerana permainan ini turut diperkenalkan untuk platform mereka pada tahun 2003 dengan paparan grafik yang lebih baik.
Sayangnya Nintendo sudah lama meminggirkan permainan ini dari senarai permainan yang bakal dinaiktaraf mereka.
3. PROJECT GOTHAM RACING
Permainan ini merupakan sambungan daripada Metropolis Street Racer.
Project Gotham Racing dilancarkan untuk permainan Xbox dan menjadi permainan best-seller kedua di belakang Halo:Combat Evolved.
Ramai mengatakan tidak akan ada siri permainan Forza Horizon jika tidak kerana ada Project Gotham Racing terlebih dahulu.
4. CRAZY TAXI
Ini satu lagi permainan best yang mulanya dikeluarkan dalam bentuk mesin arked sebelum boleh dinikmati oleh pemilik-pemilik Sega Dreamcast pada tahun 1999.
Dalam permainan ini, pemain akan menjadi pemandu teksi yang mesti mengambil penumpang dan menghantar mereka ke destinasi dengan secepat mungkin.
Semakin gila cara anda memandu semakin tinggi markah anda. Kelebihan permainan ini juga ialah pilihan lagu-lagu latar yang cukup menarik. Mana-mana yang tak pernah cuba Crazy Taxi, ia kini boleh didapati untuk peranti iOS dan Android.
5. BURNOUT DOMINATOR
Bagi mereka yang sukakan perlumbaan berbeza, dan bukannya perlumbaan dari titik A ke titik B, anda boleh mencuba siri permainan Burnout.
Inilah permainan dimana markah diberikan berdasarkan cara memandu anda yang…..ganas. Kalau bawak macam pergi ujian lesen memandu memang sekejap je dah gagal.
Ia cukup ganas sehinggakan tiada syarikat kereta yang sanggup memberikan kebenaran untuk kereta mereka digunakan dalam permainan ini.
Yelah, siapa sanggup lihat kereta keluaran sendiri disondol, digeser, dirempuh dan diletupkan seperti dalam permainan.
6. NEED FOR SPEED: MOST WANTED
Siri Need for Speed merupakan antara siri permainan video perlumbaan terawal dikeluarkan sebelum wujudnya Gran Turismo dan Forza Motorsport.
Pada peringkat awal, ia dikeluarkan dengan kerjasama majalah permotoran tersohor Road & Track. Sebab itulah pemilihan kereta-kereta dalam permainan ini adalah cukup menarik.
Most Wanted mula dikeluarkan pada tahun 2005 dan menjadi cukup popular sehinggakan ia dilesenkan untuk hampir semua platform permainan berikutan popularitinya.
Inilah permainan paling best kalau anda suka main kejar-mengejar dengan polis. Jangan terbawa-bawa sampai keluar dah la.
7. DAYTONA USA
Ini satu lagi permainan video lejen yang selalu dimainkan di arked-arked video sekitar 90-an dulu. Ia diperkenalkan buat pertama kali pada tahun 1993 dan membawa dunia perlumbaan Daytona ke dalam mesin permainan video secara menyeluruh.
Ia merupakan simulator kereta yang boleh dipandu, dirasa, dilihat dan menghasilkan bunyi seperti jentera sebenar. Walaupun teknologi 3D pada permainan ini masih lagi diperingkat awal tetapi kelihatan cukup canggih di zamannya.
Ia kemudiannya tenggelam bila konsol permainan video untuk televisyen mula diperkenalkan.
Namun bagi anda yang bergelar mahasiswa sekitar tahun 90-an dulu, inilah permainan yang membolehkan anda berlumba dengan bukan satu atau dua tetapi lapan orang pemain berlumba serentak.
8. GRAND THEFT AUTO: VICE CITY
Grand Theft Auto ataupun GTA merupakan sebuah permainan dunia terbuka di mana anda boleh memandu, mencuri, merampas, menembak dan macam-macam lagi.
Terdapat banyak lagi siri GTA baharu yang dikeluarkan tetapi Vice City merupakan kali pertama ia dihasilkan dalam bentuk 3D.
Ia cukup popular tetapi rasanya tidak sesuai langsung dimainkan oleh kanak-kanak. Jadilah ibubapa yang bijak dengan mengambil tahu permainan yang dimainkan oleh mereka.
9. GRAN TURISMO 3: A-SPEC
Walaupun banyak lagi siri Gran Turismo, kami memilih Gran Turismo 3 kerana ia merupakan siri pertama yang dihasilkan untuk Playstation2. Kiranya ia merupakan yang termaju pada masa itu.
Tidak ada lagi permainan perlumbaan lain yang setanding dengannya dan pemanduan juga terasa cukup realistik.
Selain daripada itu ia juga versi terakhir yang mana anda boleh membeli perisiannya sekali sahaja tanpa perlu membeli pakej naik taraf tambahan seperti Playstation3. Dengan kata lain sekali bayar terus boleh main.
10. FORZA MOTORSPORT 4
Pada suatu masa dulu, ramai yang menyangkakan tidak akan ada permainan lain yang memberikan sensasi memandu simulator seperti Gran Turismo.
Kemudian Microsoft muncul menawarkan pilihan buat pengguna dengan Forza Motorsport khusus untuk platform keluaran mereka, Xbox.
Sebenarnya ada banyak lagi siri Forza lain yang menarik seperti Forza Horizon tetapi jika anda ingin menjelajahi litar-litar di seluruh dunia dan memiliki koleksi kereta-kereta hebat seperti Pontiac Aztek yang cukup rare, Forza Motorsport adalah pilihan terbaik.