Artikel Pilihan

35 KERETA MEWAH CURI DITEMUI DI THAILAND – KESEMUANYA BERASAL DARI UK

Lapan tahun lalu pihak berkuasa Thailand dan UK telah bergabung dalam satu operasi yang dinamakan ‘Operation Titanium”. Ia bertujuan untuk membenteras jenayah rentas sempadan khususnya melibatkan kecurian kereta-kereta mewah di UK yang kemudian diseludup keluar ke Thailand.

Kini selepas hampir satu dekad, operasi tersebut mula membuahkan hasil dengan tertangkapnya hampir sedozen saspek dan 35 buah kereta termasuk sebuah Lamborghini yang telah dipulangkan kembali kepada pemiliknya. Ada rezeki lagi nampaknya.

Berita ini dikongsikan oleh National Vehicle Crime Intelligence Service (NaVCIS) pada hari Khamis lepas. Ia dikatakan berpunca dari penipuan pinjaman sewa beli sekitar tahun 2017 dan 2018 dahulu. Sebaik pinjaman diluluskan, sindiket terbabit segera menghantar kereta-kereta tersebut ke Bangkok, Thailand.

Pihak berkuasa UK kemudian menghubungi rakan sejawat mereka di Thailand dan mula mengatur langkah untuk menyelesaikan jenayah tersebut.

Gambar-gambar yang dikongsi pihak berkuasa jelas menunjukkan kereta-kereta malang tersebut antaranya ialah Lamborghini Huracan Spyder, Porsche Cayman 718 GT4, Ford Mustang, Honda Civic Type R, beberapa buah Nissan GT-R, BMW dan banyak lagi.

Kebanyakan kereta ini ditemui untuk jualan di Thailand. Secara keseluruhan 9 lokasi telah diserbu dan berbelas orang saspek ditangkap termasuk dalangnya sekali. Cayalah. Nilai keseluruhan rampasan dikatakan mencecah USD7.8 juta. Berapa RM tu? Banyak tuan-tuan.

Google ads
Back to top button