
PROTON R3 DITUTUP AKIBAT KEKANGAN BAJET, BUKAN KERANA KERJASAMA PROTON-GEELY
Sejak semalam, kami cuba menghubungi orang penting Divisyen sukan motor Proton R3, siapa lagi jika bukan Tg Djan Ley Tg Mahaleel untuk mendapatkan komen lanjut mengenai berita penutupan operasi R3.
Pagi ini dalam satu perbualan pendek dengan beliau, kami dimaklumkan situasi penutupan operasi R3 adalah disebabkan bajet.
Ia berlaku hanya kebetulan beberapa hari selepas Proton mengumumkan Rakan Strategik Asing (FSP) mereka yang baru dari kumpulan Geely.
BACA: SELAMAT TINGGAL R3, JASAMU DIKENANG
“Keputusan menutup operasi R3 telah dirancang agak lama, kami kekurangan bajet untuk operasi dan jualan kereta Proton yang perlahan sejak beberapa bulan kebelakangan ini tidak memungkinkan kami terus beroperasi, ia tiada kaitan dengan Geely, ini adalah keputusan kami sendiri” ujar beliau.
Menurut Djan lagi, sejak beberapa tahun lalu, Proton-R3 bergerak menerusi bajet yang disumbangkan oleh PETRONAS. Mereka melakukan pelbagai aktiviti sukan permotoran, perniagaan, pemasaran dalam skala kecil dengan bajet yang terhad.
“Proton perlu mengutamakan bajet mereka dalam operasi teras, justeru R3 tidak lagi dalam senarai keutamaan Proton dalam keadaan jualan yang tidak menentu”
Djan menambah, semua operasi akan ditamatkan pada hujung Mei nanti dan segala keputusan masa depan R3 hanya akan dibuat selepas pelabur baru – Geely bersedia beroperasi sepenuhnya. Maksudnya, selepas perjanjian penuh Proton-Geely dimuktamadkan dalam beberapa bulan akan datang, masa depan R3 hanya akan dibincangkan bersama pelabur baru.
“Ini adalah yang terbaik buat masa ini, ia memang keputusan yang sukar tapi kami melihatnya dari sudut positif.
Tiada sebab untuk teruskan operasi hiliran yang belum tentu mendatangkan kesan terus pada aspek pemasaran.
Tapi siapa tahu ada kemungkinan Geely akan mengembalikan semula divisyen ini dengan cara mereka, mungkin dengan bajet yang lebih besar dan operasi yang lebih serius. Ada banyak kemungkinan untuk masa akan datang.