Advertisements
Buletin

SELALU LANGGAR LAMPU MERAH DALAM GTA? RUPANYA ADA MANFAATNYA!  

Permainan video Grand Theft Auto (GTA) yang terkenal dengan aksi pemanduan berbahaya, pelanggaran undang-undang dan pelbagai tingkah laku ekstrem di jalan raya kini mendapat perhatian komuniti saintifik.

Di sebalik imejnya sebagai permainan yang menggalakkan kekacauan, persekitaran maya GTA sebenarnya berpotensi menjadi platform penyelidikan untuk membantu meningkatkan tahap keselamatan jalan raya sebenar.

Menurut laporan BBC, perincian persekitaran bandar, rangkaian jalan raya serta pelbagai situasi trafik dalam permainan itu menyediakan ruang eksperimen yang berguna kepada penyelidik untuk memahami tindak balas manusia ketika berhadapan dengan risiko di jalan raya.

Pakar kejuruteraan faktor manusia dari Eindhoven University of Technology, Belanda, Pavlo Bazilinskyy berkata, permainan video yang dibangunkan dengan peruntukan besar seperti GTA mempunyai kelebihan berbanding kebanyakan simulator pemanduan konvensional.

Ini kerana GTA menawarkan persekitaran maya yang luas dan terperinci, sekali gus membolehkan penyelidik menjalankan kajian menggunakan teknologi seperti penjejakan mata (eye-tracking) bagi memahami reaksi pengguna jalan raya, termasuk penunggang basikal apabila berhadapan situasi berbahaya.

Penggunaan GTA dalam penyelidikan keselamatan jalan raya sebenarnya bukan perkara baharu.

Pada 2016, Intel Labs bersama Darmstadt University di Jerman pernah menerbitkan kajian mengenai penggunaan persekitaran jalan raya dan objek dalam permainan tersebut untuk melatih sistem kecerdasan buatan (AI) mengenal pasti elemen di sekeliling jalan raya.

Kaedah itu membolehkan penyelidik menjimatkan masa dan kos kerana imej serta persekitaran dalam permainan sudah mempunyai kategori tertentu. Ini mengurangkan keperluan mengumpul dan melabel ribuan imej jalan raya secara manual.

Selain itu, perubahan cuaca dan waktu dalam permainan turut membantu penyelidik menguji sistem AI dalam pelbagai keadaan persekitaran tanpa perlu membina simulasi fizikal yang mahal.

Pendekatan sama turut digunakan beberapa institusi penyelidikan lain. Korea Advanced Institute of Science and Technology, misalnya, menggunakan GTA untuk membantu melatih perisian pemanduan AI supaya lebih cekap mengesan dan mengelakkan bahaya.

Di Amerika Syarikat pula, penyelidik dari Eastern Michigan University menggunakan permainan itu untuk menguji keupayaan AI membuat keputusan beretika ketika berada di jalan raya.

Hasil penyelidikan mereka menunjukkan pendekatan latihan berkenaan berpotensi mengurangkan kemalangan maut sehingga 24 peratus.

Dalam satu lagi kajian di Jerman, penyelidik dari Osnabrück University of Applied Sciences menggunakan GTA V untuk menguji peranti pengesanan bahaya yang direka bagi membantu penunggang basikal dan pejalan kaki.

Peserta kajian diminta menggunakan basikal statik dengan paparan permainan GTA V di hadapan dan belakang mereka. Peranti yang diuji berjaya mengesan kenderaan yang menghampiri dari arah belakang, sekali gus membolehkan keberkesanannya dinilai tanpa mendedahkan peserta kepada risiko sebenar di jalan raya.

Menariknya, teknologi seperti ini berpotensi memberikan amaran awal kepada penunggang basikal dan pejalan kaki mengenai kenderaan yang menghampiri dari arah yang sukar dilihat.

Dengan kemunculan Grand Theft Auto VI yang menawarkan persekitaran lebih terperinci dan realistik, permainan itu berpotensi membuka lebih banyak peluang kepada penyelidik untuk menjalankan kajian berkaitan tingkah laku pemandu, sistem AI dan keselamatan jalan raya.

Jadi, walaupun GTA sering dikaitkan dengan aksi memandu secara melulu dan melanggar peraturan, dunia maya yang penuh kekacauan itu rupa-rupanya boleh menyumbang kepada usaha menjadikan jalan raya sebenar lebih selamat.

Google ads
Back to top button