MAZDA3 TCR, 2.0L TURBO 350 BHP!
Tidak seperti Toyota atau Honda, jarang kedengaran berita tentang kereta lumba Mazda. Ini kerana aktiviti perlumbaan Mazda tertumpu di Amerika Syarikat seperti MX-5 Cup.
Terbaru Mazda Amerika Utara telah mendedahkan program permotoran terbaru dengan pengumuman model perlumbaan Mazda3 TCR.
Model ini dibangunkan mengikut peraturan TCR global dan ia bakal digunakan untuk siri perlumbaan IMSA Michelin Pilot Challenge 2020.
Pusingan pertama bermula dengan perlumbaan empat jam di Daytona Speedway pada Januari depan.
Mazda3 hatchback yang digunakan masih kekal dengan tema KODO dan ditambah kit perlumbaan.
Model lumba ini digayakan oleh Mazda Design Amerika dan memakan masa yang lama bagi memastikan kit aerodinamik dan ukurannya selari dengan peraturan TCR.
Lagi pula Mazda3 mempunyai reka bentuk yang menawan dan penting untuk segala perubahan tidak menenggelamkan rupa asal.
Kit aerodinamik model ini terdiri dari splitter depan, diffuser belakang, fender flare dan spoiler besar yang menarik perhatian.
Keempat-empat sudut dipasangkan tayar Michelin Pilot dengan roda Rays 18 inci. Suspensi dari Bilstein atau pilihan Öhlins manakala tugas pembrekan diambil oleh Brembo.
Mazda3 TCR dikuasakan oleh enjin 2.0L turbo empat silinder berkuasa 350bhp dan 490 Nm yang mematuhi piawaian TCR dengan transmisi enam kelajuan.
Model ini dibangunkan oleh Long Road Racing dari North Carolina yang turut bertanggungjawab dalam pembinaan model lumba Global Mazda MX-5 Cup.
Homologasi Mazda3 TCR membolehkan ia digunakan di dalam 36 perlumbaan yang diiktiraf TCR di serata dunia.
Long Road Racing adalah wakil jualan Mazda3 TCR dan turut menyediakan sokongan pelanggan dan ia boleh dimiliki pelumba persendirian pada tahun 2020.
BACA: PADA 2005, MAZDASPEED ATENZA DIPERKENAL, ENJIN 2.3L TURBO PACUAN AWD
BACA: PERANG SEGMEN C: CIVIC VS ALTIS VS MAZDA 3
BACA: MAZDA3 MPS, SEBUAH TYPE R YANG TAK DIDENDANG