Artikel Pilihan

LAGENDA PERLUMBAAN, STIRLING MOSS MENINGGAL PADA USIA 90 TAHUN

Stirling Moss ialah seorang lelaki Inggeris yang sangat menggemari kelajuan dan perlumbaan dan dianggap sebagai salah seorang pelumba Formula Satu terbaik dunia walaupun tidak pernah menjadi juara dunia. Setelah lama jatuh sakit, Moss akhirnya meninggal dunia di rumah beliau di London hujung minggu lepas pada usia 90 tahun.

Dikenali dengan nama jolokan “Mr. Motor Racing”, Moss terkenal dengan keberanian beliau memaksa kereta sehingga ke akhir batasan dalam mana-mana perlumbaan. Beliau memang seorang yang berani, kompetitif dan kadang-kadang kala nampak terburu-buru. Tapi dah namanya perlumbaan kan? Bukannya beliau memandu dengan cuai di atas jalanraya.

Mungkin disebabkan sifat-sifat beliau itulah karier Moss berakhir agak awal iaitu semasa berusia 31 tahun. Ia adalah akibat kemalangan yang menyebabkan Moss dalam keadaan koma selama sebulan pada April 1962.

“Buat apa berlumba kalau tidak mencuba sedaya upaya?” adalah ayat Moss bila ditanya tentang gaya pemanduan beliau. Dah namanya perlumbaan, kalau setakat nak pusing-pusing macam nak cari rumah sewa baik tak payah masuk race.

Sebelum bersara, Moss telah memenangi 16 daripada 66 perlumbaan F1 yang beliau sertai dan mencipta reputasi sebagai pelumba yang versatil dan sangat memahami aspek teknikal kenderaan.

Walaupun tidak pernah bergelar juara dunia F1, Moss sebenarnya pernah mendapat tempat kedua sebanyak empat kali dari 1955-58 dan tiga kali tempat ketiga.

Pencapaian terhebat Moss semestinya ialah dalam perlumbaan 1,000-batu Mille Miglia 1955, sebuah perlumbaan merentas Itali di mana Moss berjaya muncul juara dengan jurang hampir setengah jam meninggalkan pelumba di tempat kedua, Juan Manuel Fangio yang juga merupakan idola Moss, rakan sepasukan dan pesaing.

Moss dilahirkan pada tahun 1929 dalam keluarga pelumba. Bapa beliau Alfred merupakan pelumba Indianapolis 500 manakala ibunya merupakan juara wanita 1936. Moss mula aktif dalam perlumbaan selepas Perang Dunia kedua.

Beliau memang sangat serius dengan perlumbaan dan sentiasa mempelajari dan bereksperimen tentang sesuatu yang baru dalam dunia perlumbaan waluapun kadang kala ia mengancam nyawanya.

Moss pernah patah kedua-dua kaki selepas keretanya berpusing dalam satu kemalangan tahun 1960. Malah dua tahun kemudian kemalangan yang lebih teruk menimpa beliau du Goodwood, England bila beliau terlanggar dinding pada kelajuan 160km/j tanpa memakai tali pinggang keledar dalam perlumbaan Formula One Glover Trophy.

Moss akhirnya berhenti berlumba dan menceburi bidang perniagaan hartanah selain merekabentuk gajet dari rumah beliau di London. Selain daripada itu Moss juga berkhidmat sebagai perunding untuk beberapa syarikat pengeluar kereta.

Moss menerima gelaran ‘Sir’ dari Ratu England pada tahun 1999 atas jasa-jasa beliau selain reputasi dan kredibiliti yang memang tidak pernah ada pada kebanyakan pelumba lain. Selamat jalan Sir Stirling Moss.

Tags
Google ads
Back to top button