Buletin

PADA 2006 MAZDA8 DIPERKENAL DI JEPUN, DI MALAYSIA PADA 2008

Pasaran tempatan amat memerlukan sebuah MPV yang cukup sifat atau senang cerita, saiz penuh pada harga mampu milik. Contoh yang baik adalah Proton Exora atau SUV Perodua Aruz.

Jika mencari MPV lebih besar, ada beberapa pilihan seperti Toyota Estima, Mitsubishi Grandis, Nissan Serena dan Mazda8.

Sewaktu mula diperkenalkan, kesemua MPV tersebut dijual pada harga premium. Sesuai dengan peredaran masa, harga unit terpakai kini berada pada yang mesra didengar.

Mazda8 terpakai kini boleh dimiliki pada harga sekitar RM60,000 hingga RM70,000. Satu kisah menarik apabila Mazda8 sebenarnya diimport oleh NAZA pada 2008 sebelum ditawarkan secara rasmi oleh Bermaz pada 2010.

Bezanya ialah versi NAZA menggunakan enjin turbo manakala Bermaz dengan enjin aspirasi normal (n.a).

Di Jepun Mazda8 dikenali sebagai Mazda MPV dan dilancarkan pada 2006. Satu keunikan Mazda8 ialah ukuran bumbung yang rendah dan membezakannya dengan MPV popular lain pada waktu itu.

Mazda memang sengaja menzahirkan rekabentuk tersebut apatah lagi konsepnya ialah van dengan jiwa kereta sport. Mazda memang handal dalam perkara sebegini.

Menggerakkan Mazda8 ialah enjin turbo MZR 2.3 Direct Injection Spark Ignition (DISI) berkuasa 245 ps pada 5,000 rpm dan tork 350 Nm pada 2,500 rpm.

Satu lagi pilihan ialah enjin MZR 2.3 berkuasa 163 ps pada 6,500 rpm dan tork 210 Nm pada 4,000 rpm.

Kedua-dua enjin dipadankan bersama transmisi enam kelajuan (6AT) dengan versi  2.3 n/a turut didatangkan dengan empat kelajuan (4AT) Activematic. 

Untuk pacuan, ada dua pilihan iaitu pacuan empat roda (4WD) dan roda depan (FWD). 

Satu karakter yang membuatkan Mazda8 bagus dari segi pengendalian ialah kerangka yang tegar, suspensi depan MacPherson dan multilink di belakang.

Varian turbo turut dilengkapi cakera brek ventilated saiz 17 inci yang biasa digunakan pada kereta sport.

Dari segi keselamatan, Mazda8 23T yang merupakan varian tertinggi dilengkapi teknologi Precrash Safety System yang mampu mengesan potensi pelanggaran.

Mazda8 juga mempunyai Adaptive Front Lighting System yang mengubah kadar nyalaan lampu apabila melalui selekoh mengikut arah pusingan stereng dan pilihan beg udara (SRS) pada cermin sisi bagi melindungi penumpang.

Di Jepun, Mazda8 dijual pada harga JPY2,380,000 untuk varian asas 23F 4AT FWD dan JPY3,100,000 bagi varian 23T 6AT 4WD.

Di pasaran tempatan, NAZA menawarkan Mazda8 turbo pada harga RM198,888 manakala Mazda8 aspirasi normal oleh Bermaz berharga RM195,404.20.

Google ads
Back to top button