Buletin

MAZDA RX-7, ENJIN ROTARY KERETA IKONIK!

Sebelum ini kami bawakan bagaimana Mazda bermula sebagai syarikat kayu gabus. Dalam sambutan 100 tahun Mazda, banyak model boleh diimbas kembali dan tidak lengkap jika RX-7 tidak diketengahkan.

Jika ada yang menggagumi Mazda kerana ketegar dengan enjin pembakaran dalaman (ICE) yang diperbaharui dalam bentuk SKYACTIV, Mazda sebelum ini terkenal melawan arus dengan enjin rotary.

DNA Mazda terbentuk dari tiga elemen iaitu keseronokan pemanduan, reka bentuk ringan dan enjin rotary yang terus mempesonakan mereka yang bekerja di syarikat dari Hiroshima itu.

Satu model paling menonjol dalam membawakan elemen tersebut ialah Mazda RX-7 yang berjaya membawa imej kereta sport enjin rotary di minda peminat kereta di serata dunia.

Dilancarkan pada 1978, RX-7 adalah kereta sport keluaran massa pertama Mazda dan berjaya menduduki takhta kenderaan dengan enjin rotary paling banyak dijual.

Tidak hanya dari segi komersil, RX-7 juga berjaya merekodkan kejayaan pada tahap tinggi untuk Mazda di litar lumba.

Enjin twin-rotor tersebut berjaya menggegarkan litar lumba di Eropah dan banyak tempat termasuk memenangi British Saloon Car Championship pada 1980 dan 1981.

RX-7 juga berjaya mencatat rekod penting dengan menjadi kereta Jepun pertama menjadi juara keseluruhan 24 Hours of Spa tahun 1981.

Di Amerika Syarikat, RX-7 menang lebih 100 perlumbaan IMSA dan ianya lebih banyak berbanding mana-mana model pengeluar lain.

Bagaimanapun, di sebalik kejayaan yang ditempa, sejarah awal pembangunan RX-7 tidak bermula dengan lancar.

Mazda menggunakan enjin rotary dalam model yang ditawarkan kepada pengguna sehingga terjadinya krisis minyak 1973-74 sehingga harga melambung tinggi.

Disebabkan kadar penggunaan minyak yang tinggi, Mazda menghentikan penawaran enjin rotary dalam kebanyakan model seperti sedan, hatchback dan wagon dan mungkin terpaksa mengabaikannya terus secara keseluruhan seperti pengeluar lain.

Bagaimanapun, Ketua Penyelidikan dan Pembangunan Mazda iaitu Kenichi Yamamoto menentang dan berhujah betapa pentingnya enjin rotary dalam menjadikan Mazda sebagai syarikat yang berbeza.

Beliau yang mengetuai pasukan jurutera dalam membangunkan enjin rotary pertama Mazda pada 60an merancang untuk merombak semula enjin 12A dan memperbaiki tahap penggunaan minyak.

Di antara perubahan yang dibuat ialah apex seal lebih tahan dan pembaikan dalam lubrikasi.

Mereka kemudian membantu dalam merekabentuk kereta yang ideal untuk enjin itu.

Dengan sifat seperti kecil dan ringan, lancar, berkuasa dan rev-happy, enjin rotary sangat sesuai untuk kereta sport.

Dengan itu sebuah kereta sport iaitu RX-7 dengan gayaan menarik dibangunkan khusus untuk enjin rotary yang baharu.

Sejarah tercipta dan rekaan RX-7 dengan gaya badan rendah, bahagian depan berbentuk baji (wedge) dan cermin keliling masih kekal anggun sehingga kini.

Tidak salah untuk dikatakan Mazda RX-7 adalah ikon retro yang kekal menawan. Cantik bukan?

Tags
Google ads
Back to top button