Buletin

34 JUTA KERETA TERJUAL, 7 JUTA DIEKSPORT — CHINA PECAH SEMUA REKOD!

Industri automotif China dijangka mencatat satu lagi tahun luar biasa pada 2025, didorong peningkatan kukuh dalam jualan domestik dan permintaan antarabangsa.

Menurut Timbalan Setiausaha Agung Persatuan Pengeluar Automobil China (CAAM), Chen Xu, jumlah keseluruhan jualan kenderaan tahun hadapan diunjurkan melebihi 34 juta unit, dengan kenderaan tenaga baharu (NEV) dianggarkan menyumbang sekitar 16 juta unit.

Dalam masa yang sama, CAAM menjangkakan eksport kenderaan buatan China boleh mengatasi paras 6.8 juta unit pada 2025, satu angka yang menandakan lonjakan ketara berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Rekod menunjukkan peningkatan eksport berlaku secara konsisten:

  • 2024: 5.86 juta unit
  • 2023: 4.91 juta unit
  • 2022: 3.11 juta unit

Bagi tempoh Januari hingga Oktober 2025 sahaja, eksport sudah pun mencecah 5.62 juta unit, meningkat 15.7 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Pertumbuhan pesat ini dikaitkan dengan permintaan global yang semakin tinggi terhadap kenderaan China — termasuk model enjin pembakaran dalaman dan NEV, selain perluasan rangkaian pengedaran serta kekuatan rantaian bekalan negara itu.

Sepanjang 10 bulan pertama 2025, nilai eksport automotif China berjumlah AS$112.8 bilion (anggaran RM540 bilion), meningkat 14.3 peratus tahun ke tahun.

Di pasaran domestik pula, prestasi terus rancak. Dari Januari hingga Oktober 2025, pengeluaran keseluruhan hampir 27.7 juta unit, meningkat 13.2 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Jika unjuran CAAM menjadi kenyataan, China berpotensi menghantar hampir 7 juta kenderaan ke luar negara pada 2025, sekali lagi mengukuhkan kedudukannya sebagai pengeksport kenderaan terbesar dunia, gelaran yang pertama kali diraih pada 2024.

Google ads
Back to top button