
5 MODEL FERRARI PALING HENSEM PERNAH DIHASILKAN
Pendedahan Ferrari Luce baru-baru ini telah mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan peminat automotif. Sebagai model elektrik pertama Ferrari yang dibangunkan untuk era baharu mobiliti, Luce sepatutnya menjadi simbol masa depan jenama ikonik dari Maranello itu. Namun reaksi awal dari peminat tidaklah seperti yang diharapkan.
Di media sosial dan forum automotif, ramai peminat Ferrari mengkritik reka bentuk Luce kerana dianggap terlalu futuristik, kurang identiti Ferrari dan lebih menyerupai produk teknologi berbanding sebuah kereta sport Itali yang penuh emosi. Malah, ada yang berpendapat jika logo Ferrari ditanggalkan, sukar untuk mengenal pasti bahawa ia sebenarnya sebuah Ferrari.
Kritikan ini secara tidak langsung membuka semula perdebatan lama dalam dunia automotif, apakah model Ferrari paling cantik pernah dihasilkan?
Walaupun kecantikan sesebuah kereta bersifat subjektif, terdapat beberapa model Ferrari yang sentiasa berada di kedudukan teratas dalam senarai yang disusun oleh pereka automotif, pengkritik reka bentuk dan media automotif antarabangsa. Kebanyakan model tersebut berkongsi satu persamaan iaitu reka bentuk yang sporti, proporsi rekaan yang seimbang dan mempunyai identiti Ferrari yang sangat kuat.
1. Nama yang paling kerap disebut sudah tentu ialah Ferrari 250 GTO. Diperkenalkan pada awal 1960-an, model ini dianggap oleh ramai pakar sebagai antara kereta paling cantik pernah dihasilkan dalam sejarah automotif.
Bentuk badannya lahir daripada keperluan perlumbaan, namun hasil GTO untuk varian jalanan akhirnya menjadi harmoni sehingga ramai menganggapnya sebagai karya seni bergerak. Sehingga hari ini, Ferrari 250 GTO bukan sahaja menjadi antara kereta paling bernilai di dunia, malah sering dijadikan penanda aras kecantikan automotif.

2. Satu lagi model yang sering mendapat pujian ialah Ferrari Dino 246 GT. Berbeza dengan 250 GTO yang lebih agresif, Dino tampil dengan bentuk badan yang lembut dan mengalir. Rekaan hasil sentuhan Pininfarina ini dianggap sebagai antara contoh terbaik reka bentuk Itali pada era 1970-an.
Ramai pengkritik menyifatkan Dino sebagai kereta yang hampir tidak mempunyai sudut yang kelihatan janggal walau dilihat dari mana-mana arah. Model Dino dinamakan bersempena nama anak Enzo yang meninggal pada usia muda akibat penyakit yang tidak boleh diubati
3. Ferrari 365 GTB/4 Daytona turut berada dalam senarai pilihan ramai pakar. Dengan bonet yang panjang, kabin yang ditolak ke belakang dan proporsi grand tourer klasik, Daytona menampilkan gabungan sempurna antara kemewahan dan prestasi. Walaupun usianya sudah lebih lima dekad, reka bentuknya masih kelihatan moden dan relevan sehingga hari ini.
4. Bagi peminat supercar pula, Ferrari F40 sering dianggap sebagai model paling ikonik yang pernah meninggalkan kilang Maranello. Menariknya, F40 tidak semestinya cantik dalam definisi tradisional. Sebaliknya, daya tarikannya datang daripada sifatnya yang begitu agresif dan jujur.

Setiap lubang udara, spoiler dan panel badan direka untuk tujuan prestasi semata-mata. Tambahan pula, F40 merupakan model terakhir yang mendapat kelulusan peribadi daripada Enzo Ferrari sebelum beliau meninggal dunia pada tahun 1988.
5. Dalam era moden pula, Ferrari Roma sering dianggap sebagai antara Ferrari paling cantik yang pernah dihasilkan dalam beberapa dekad kebelakangan ini. Model ini memenangi pelbagai pujian kerana reka bentuknya yang bersih, elegan dan tidak terlalu sarat dengan elemen aerodinamik yang kompleks. Roma membuktikan bahawa sebuah Ferrari moden masih boleh kelihatan menawan tanpa perlu bergantung kepada rekaan yang terlalu agresif atau futuristik.
Apa yang menarik, jika diperhatikan kelima-lima model ini mempunyai falsafah reka bentuk yang hampir sama. Model yang kami senaraikan ini tidak cuba kelihatan pelik, radikal atau terlalu futuristik. Sebaliknya, mereka menumpukan kepada proporsi badan yang seimbang, garis rekaan yang bersih dan identiti Ferrari yang jelas.

Mungkin itulah sebabnya Ferrari Luce menerima begitu banyak kritikan. Isunya bukan kerana ia sebuah kereta elektrik. Ferrari sendiri telah membuktikan bahawa peminat boleh menerima teknologi baharu selagi ia masih mengekalkan jiwa dan identiti jenama tersebut. Sebaliknya, ramai merasakan Luce terlalu jauh meninggalkan bahasa reka bentuk Ferrari yang menjadikan model-model seperti 250 GTO, Dino, Daytona, F40 dan Roma begitu istimewa.



