Buletin

AEROTRAIN KLIA BERUSIA 23 TAHUN AKAN DIGANTI. PROJEK BERNILAI RM742.95 JUTA

Malaysia Airports dilapor telah memulakan latihan penggantian Automated People Mover (APM), yang juga dikenali sebagai sistem Aerotrain yang telah beroperasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sejak 23 tahun lalu.

Pengarah Urusan Malaysia Airports, Datuk Iskandar Mizal Mahmood berkata, beberapa tahun kebelakangan ini, sistem Aerotrain berkenaan sering menghadapi gangguan perkhidmatan. Sekali gus menyumbang kepada ketidakcekapan operasi yang mengakibatkan penumpang terpaksa menggunakan perkhidmatan bas alternatif.

“Aerotrain semasa tidak boleh dikekalkan lagi. Aset lama lebih mudah rosak dan ini akan menyusahkan penumpang. Ia juga menggunakan teknologi lama, menjadikannya sukar untuk mendapatkan alat ganti.

“Aerotrain baharu akan dinaik taraf bersama infrastruktur sistem trek. Jadi, ia akan menyediakan lapangan terbang dengan kecekapan operasi yang lebih baik.”

“Tidak dinafikan terdapat sedikit kesulitan kepada penumpang dalam tempoh tiga tahun akan datang semasa tempoh naik taraf.

“Sementara kami akan berusaha untuk meminimumkan gangguan perkhidmatan, penumpang akan terus dipindahkan menggunakan perkhidmatan bas yang telah berjalan dengan baik sebagai perkhidmatan alternatif sejak 2017,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Aerotrain baharu itu akan dipertingkatkan dari segi keselamatan, keselesaan, penampilan, penggunaan tenaga dan diagnostik. Sistem itu juga dapat menawarkan fleksibiliti untuk sambungan lancar untuk terminal baharu pada masa hadapan.

Projek APM baharu ini telah dianugerahkan kepada Pestech Technology Sdn Bhd (Pestech), anak syarikat milik penuh Pestech International Berhad. Projek yang akan bermula pada Mac 2022 dan mengambil masa tiga tahun untuk disiapkan itu bernilai RM742.95 juta.

Projek berkenaan melibatkan penggantian Aerotrain, di samping  perkara berkaitan seperti bekalan kuasa, sistem komunikasi dan isyarat, peralatan stesen dan penyelenggaraannya selama 10 tahun sehingga 2034,” katanya.

Pestech bakal bekerjasama dengan OEM terkemuka, Bombardier Transportation yang baru-baru ini diambilalih oleh Alstom. – Astro Awani

Google ads
Back to top button