
SWM 255XT MASUK MALAYSIA 2027, BAWAH RM20K
Jenama motosikal Itali, SWM bakal memperkenalkan skuter adventure SWM 255XT untuk pasaran Malaysia pada tahun 2027.
Model yang telah dipertonton kepada umum lebih awal ketika di Malaysia Bike Show 2026 itu akan dipasarkan di Malaysia tahun depan. Menariknya, kami diberitahu bahawa skuter berkenaan akan ditawarkan dengan harga bawah RM20,000.

Sekiranya direalisasikan, ini bermakna 255XT akan hadir dengan harga lebih rendah berbanding skuter satu silinder dalam pasaran ketika ini.
Untuk rekod, 255XT merupakan skuter yang unik kerana ketika pesaing lain menerapkan enjin satu silinder, SWM mengguna pakai enjin dua silinder 249.6cc 8-valve dengan 180-degree crank. Unit ini berupaya menghasilkan 27.5hp pada 8,000rpm dan 23Nm pada 6,500rpm.

Sementara itu, bahagian transmisi dan enjin pula berbeza dengan skuter konvesional sebaliknya enjin dipadankan secara terus dengan casis dan bukannya dengan swingarm. Pada masa sama, 255XT menggunakan final drive rantai berbanding tali sawat (belt).
SWM 255XT ini juga menggunakan kerangka jenis tubular steel diamond yang diinspirasikan dari perlumbaan off-road dan rali. Bahagian suspensi belakang pula adalah jenis multi-link yang direka untuk menyerap hentakan kuat dan kestabilan optimum.

Skuter adventure ini turut menawarkan ciri berikut:
- ketinggian tempat duduk 790mm
- tangki 13L
- berat 198kg
- ABS dual-channel
- traction control (boleh dipadamkan)
- jarak kelegaan tanah 135mm
- tayar 120/70-17 depan
- tayar 160/60-15 belakang
GALERI: SWM 255XT 2027















