Buletin

XPENG AMBIL ALIH OPERASI DI MALAYSIA, WARANTI DAN KHIDMAT SELEPAS JUALAN TAK TERJEJAS

XPENG Malaysia akan mengambil alih operasi pengedaran dan pengurusan jenama di negara ini menerusi model National Sales Company (NSC), berkuat kuasa 26 November 2026, selepas menamatkan kerjasama dengan Bermaz Auto Berhad.

Menerusi struktur baharu itu, XPENG Malaysia akan menguruskan pengedaran kenderaan, rangkaian pengedar sah serta perkhidmatan selepas jualan secara langsung.

XPENG turut merakamkan penghargaan kepada Bermaz Auto atas peranan syarikat itu dalam membangunkan jenama berkenaan di Malaysia.

Pengurus Besar Serantau XPENG Asia Tenggara, Sam Chu berkata, kedua-dua pihak akan memastikan proses peralihan berjalan lancar tanpa menjejaskan pelanggan sedia ada.

Semua waranti kenderaan dan bateri, pakej servis, kemas kini perisian serta sokongan alat ganti akan terus dihormati. Tempahan dan penyerahan kenderaan sedia ada juga diteruskan seperti dirancang.

Dalam perkembangan berkaitan, XPENG merancang memperluaskan barisan model di Malaysia, selain meneruskan pemasangan tempatan di Melaka dan menilai peluang pengembangan pemasangan CKD.

Syarikat itu turut akan memperluaskan rangkaian pengedar 3S dan 4S bagi meningkatkan liputan jualan serta selepas jualan di seluruh negara.

XPENG Malaysia ketika ini menawarkan model G6 pemasangan tempatan dan X9, selain merancang memperkenalkan model baharu serta teknologi mobiliti pintar generasi seterusnya.

Google ads
Back to top button