
FERRARI 12CILINDRI MANUALE, 296 SPECIALE RAIH ANUGERAH TOPGEAR.COM 2027
Ferrari mencatat kejayaan berganda pada TopGear.com Awards 2027 apabila model 12Cilindri Manuale dan 296 Speciale masing-masing meraih pengiktirafan dalam kategori TG Tech Award dan Performance Car of the Year.
Majlis anugerah berprestij itu berlangsung di London, baru-baru ini, dengan Ferrari 12Cilindri Manuale menerima pengiktirafan menerusi teknologi transmisi manual inovatif yang diperkenalkan pada model edisi terhad berkenaan.
Sistem Manuale-by-Wire yang dibangunkan sendiri oleh Ferrari menggunakan tuil gear dan pedal klac elektronik bagi menterjemahkan input pemandu kepada arahan kawalan yang tepat.
Teknologi itu direka untuk mengekalkan sensasi pemanduan manual yang semula jadi, selain menawarkan ketepatan serta kemudahan penggunaan seperti sistem transmisi DCT Ferrari.

Model berkenaan menggabungkan enjin V12 aspirasi semula jadi dengan sistem Manuale-by-Wire, sekali gus memberikan penekanan terhadap hubungan antara pemandu, mekanikal dan kawalan kenderaan.
Sementara itu, Ferrari 296 Speciale dinobatkan sebagai Performance Car of the Year, meneruskan kejayaan model berkenaan selepas memenangi anugerah Supercar of the Year pada tahun lalu.
296 Speciale merupakan sebahagian daripada rangkaian berlinetta edisi khas Ferrari yang dibangunkan untuk menawarkan pengalaman pemanduan lebih mengujakan, meneruskan legasi model terdahulu seperti 430 Scuderia, 458 Speciale dan 488 Pista.
Kemenangan terbaru itu menjadikan Ferrari mengumpul 23 anugerah TopGear dalam tempoh 24 tahun.
Pada majlis berkenaan, anugerah TG Tech Award bagi 12Cilindri Manuale diterima Ketua Pembangunan Produk model itu, Mirko Statini, manakala Ketua Pembangunan Produk 296 Speciale, Manuela Cecconi, menerima anugerah Performance Car of the Year.


