AIRASIA FOOD LEBAR SAYAP KE JOHOR, PULAU PINANG
airasia food bakal melebarkan sayap ke bandar raya utama lain di negara ini bermula dengan Johor dan Pulau Pinang bulan depan selepas bertapak di Lembah Klang
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Bhd, Riad Asmat, berkata perniagaan itu mencatatkan pertumbuhan sangat positif terutama semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan semula antara tempoh Oktober hingga Disember 2020, dan menjanjikan prospek yang baik melangkah ke 2021.
“ Di bawah pelan pengembangannya, syarikat itu memulakan program keusahawanan untuk melatih lebih ramai tenaga kerja bagi menampung potensi pasaran pada masa akan datang serta mendapatkan lebih banyak peniaga menyertai platformnya.
“Orang ramai sedang mencari lebih banyak pilihan (perkhidmatan penghantaran makanan) ketika ini dan tawaran kami di airasia food, sama ada daripada perspektif pelanggan dan peniaga, boleh memenuhi keperluan mereka dalam pasaran,” katanya.
Riad menamakan Ipoh, Kota Kinabalu, Kuching, Miri dan Kota Bharu sebagai pasaran berpotensi seterusnya.
Bagi pasaran antarabangsa, beliau berkata, syarikat itu menyasar memulakannya di Singapura bulan depan, dan pasaran lain seperti Indonesia, Filipina dan Thailand tidak lama lagi.
Airasia food yang dilancarkan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mei 2020, adalah satu platform penghantaran makanan yang lancar tanpa sebarang masalah serta berpatutan bagi peniaga kerana ia berdasarkan model kadar rata yang bersamaan dengan hanya 10 peratus kadar komisen
Menurutnya, ketika ini, kadar komisennya adalah yang terendah dalam pasaran kerana bayaran komisen platform lain adalah dalam jajaran antara 15 peratus dan 30 peratus, malah airasia food adalah satu-satunya platform yang menawarkan kadar rata.
Peniaga juga mudah untuk mengawal menu dan harga mereka dan menerima liputan penghantaran sehingga 60 kilometer berbanding liputan 15 kilometer oleh platform pesanan makanan lain.
Riad berkata, walaupun terdapat penyedia perkhidmatan yang sudah lama berada dalam pasaran, airasia food percaya pasaran cukup besar untuk mengisi satu lagi alternatif yang memiliki kelebihan tersendiri.
Menurutnya, airasia food menyediakan penawaran kompetitif kepada peniaga yang boleh membantu mereka secara langsung dan tidak langsung bagi meraih pulangan lebih tinggi dengan kos rendah, yang seterusnya memberi manfaat kepada pelanggan mereka.
Setakat ini, airasia food memiliki lebih 1,500 teleporter (penghantar makanan) yang menawarkan perkhidmatan kepada 1,200 restoran di seluruh Lembah Klang. – Bernama