AIRASIA BERHAD BAKAL BERHENTIKAN RATUSAN PEKERJA LAGI
Syarikat penerbangan tambang murah AirAsia Berhad dilapor akan mengurangkan tenaga kerjanya sekali lagi berikutan kesan pandemik COVID-19.
Menurut sumber yang mendengar taklimat oleh Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Berhad Riad Asmat, tiada angka terperinci diberikan, namun ia bakal melibatkan beberapa ratus tenaga kerja AirAsia Berhad.
“Ini keputusan yang amat sukar setelah beberapa bulan kita lalui tempoh sukar. Beberapa ratus tenaga kerja akan dibuang, tiada angka terperinci buat masa ini. Kriteria (siapa yang bakal dibuang) akan diberitahu nanti. Pekerja yang terlibat akan dimaklumkan melalui emel dalam tempoh 24 jam.
“Saya memohon maaf kepada tenaga kerja yang terlibat. Anda perlu kekal kuat dan kami akan terus menyokong anda dalam pelbagai cara,” ujar sumber itu yang memetik kata Riad.
AirAsia bagaimanapun akan terus menyediakan bantuan asas seperti manfaat penjagaan kesihatan dan kupon penerbangan sehingga Disember 2020 kepada pekerja yang terjejas.
“Dari perspektif perniagaan, kami sudah mencuba sebaik mungkin sejak beberapa bulan lepas untuk menguruskan syarikat. Bagi pekerja yang tidak terlibat, usaha harus ditingkatkan dalam menjalankan tugas anda. Gaji anda juga tidak akan dipotong,” tambah Riad.
Proses pengecilan tenaga kerja itu akan berlaku menjelang hujung bulan ini. Sumber itu turut memaklumkan bahawa AirAsia X dalam sesi taklimat berasingan mengumumkan pengecilan tenaga kerja melibatkan bahagian operasi, teknikal dan kru.
Proses pengecilan tenaga kerja itu akan menggunakan asas “yang terakhir sertai, yang pertama keluar”. Jumlah sebenar tenaga kerja yang terjejas tidak dinyatakan. Beberapa ratus orang pekerja juga akan ditawarkan cuti tanpa gaji sehingga keadaan kembali pulih.
Selain itu AirAsia X akan menyemak semula gaji pokok tenaga kerja denganbayaran hanya 25 peratus. Sumber memaklumkan tenaga kerja yang terlibat akan dimaklumkan pada Khamis ini, termasuklah jumlah pampasan yang bakal diterima. – Astro Awani