Buletin

BYD MANSION MACALISTER RASMI DIBUKA DI GEORGE TOWN

Sime Motors bersama BYD Malaysia terus memperkukuh kedudukan jenama kenderaan elektrik (EV) itu di negara ini menerusi pembukaan rasmi BYD Mansion Macalister di George Town, Pulau Pinang.

Pembukaan pusat baharu itu dilihat sebagai langkah strategik dalam memperluaskan pengalaman pemilikan EV yang lebih menyeluruh kepada pelanggan, khususnya di wilayah utara Semenanjung.

Ketika ini, BYD Malaysia dan Sime Motors memiliki rangkaian melibatkan 40 bilik pameran serta lebih 30 pusat servis selepas jualan di seluruh negara. Kemudahan itu turut disokong dengan pelaburan berterusan dalam pembangunan tenaga kerja tempatan dan peningkatan mutu perkhidmatan pelanggan.

BYD Mansion Macalister yang terletak di bangunan warisan ikonik di tengah bandar George Town tampil dengan konsep premium selepas melalui proses pemulihan dan pengubahsuaian menyeluruh.

Ia bukan sekadar pusat jualan, malah direka sebagai hab pengalaman pelanggan yang menawarkan ruang konsultasi eksklusif, kemudahan digital interaktif dan ruang pertemuan lebih selesa untuk pengunjung mengenali rangkaian model EV BYD dengan lebih dekat.

Menariknya, pusat itu turut dilengkapi hab pengecasan dan pusat servis setempat, sekali gus memudahkan urusan pemilikan kenderaan elektrik secara lebih praktikal dan menyenangkan.

Dalam masa sama, BYD Malaysia dan Sime Motors juga terus memberi penekanan terhadap pembangunan modal insan menerusi latihan intensif kepada juruteknik, penasihat jualan dan kakitangan selepas jualan agar kepakaran bertaraf global dalam bidang EV dapat diperkasakan di Malaysia.

Bagi meraikan pembukaan pusat berkenaan, BYD Sime Motors turut menganjurkan konvoi media dari BYD Ara Damansara menuju ke BYD Mansion Macalister di Pulau Pinang.

Perjalanan sejauh kira-kira 360 kilometer itu menjadi platform bagi menunjukkan kemampuan model EV BYD dari aspek prestasi, keselesaan serta keupayaan perjalanan jarak jauh.

Konvoi berkenaan melalui lebuh raya utama dan beberapa lokasi bersejarah, sekali gus membuktikan kemampuan EV BYD untuk digunakan dalam perjalanan harian mahupun perjalanan jauh dengan yakin.

Menurut Sime Motors, lebih 5,000 pemilik BYD kini berada di wilayah utara, mencerminkan penerimaan positif terhadap jenama itu di kawasan berkenaan.

Seiring peningkatan penggunaan EV di Malaysia, BYD Sime Motors menegaskan komitmennya untuk terus menawarkan sokongan selepas jualan yang mudah diakses, latihan berterusan kepada kakitangan dan tahap kesiapsiagaan servis yang tinggi.

Syarikat itu turut memaklumkan kadar ketersediaan alat ganti selepas jualan kini mencecah 95 peratus bagi memastikan pelanggan menerima bantuan lebih pantas dan pengalaman pemilikan yang lebih lancar.

Google ads
Back to top button