Buletin

AMAZON BELI ZOOX RM4 BILION. MUSK GELAR BEZOS PENIRU

Amazon dilapor bersetuju untuk membeli Zoox Inc. yang berpangkalan di California, Amerika Syarikat.

Perjanjian yang dikatakan bernilai lebih AS$1 bilion (RM4.29 bilion) itu membolehkannya memanfaatkan teknologi autonomi dalam pengangkutan hailing dan rangkaian penghantaran.

Syarikat gergasi e-dagang itu dilihat mempertingkatkan pelaburan dalam sektor pemotoran pada awal tahun lalu dengan menyuntik dana sebanyak AS$530 juta (RM2 bilion) ke dalam syarikat startup pemanduan kereta berautonomi, Aurora Innovation Inc.    

Walaupun Amazon dan Zoox tidak mendedahkan syarat perjanjian itu, sumber menyatakan Amazon bersetuju membayar Zoox dengan nilai RM4.29 bilion.

Difahamkan, Ketua Pegawai Eksekutif Zoox, Aicha Evans dan pengasas bersama merangkap Ketua Pegawai Teknologi Zoox, Jesse Levinson akan terus menerajui syarikat berkenaan. Sebahagian besar para pelabur Zoox pula akan memperoleh wang mereka semula.

Perkembangan terbaharu itu membuatkan pemilik Tesla, Elon Musk menulis Jeff Bezos (bos Amazon) sebagai peniru di Twitter.

Pembelian itu membolehkan Amazon berada di tahap teknologi yang hampir sama dengan Tesla dalam arena pembuatan kereta berautonomi. – Reuters

Google ads
Back to top button