
RIVIAN TERIMA TEMPAHAN 100,000 UNIT VAN ELEKTRIK DARIPADA AMAZON
Ketua Pegawai Eksekutif Amazon, Jeff Bezos baru-baru ini mengumumkan bahawa gergasi internet itu telah menempah 100,000 unit van penghantaran elektrik daripada Rivian.
Ia menjadi sebahagian daripada langkah untuk menjadi sebuah syarikat neutral karbon menjelang tahun 2040. Van yang eksklusif untuk Amazon itu dijangka memulakan perkhidmatan pada tahun 2021 dengan pesanan bakal dipenuhi pada tahun 2024.

Van tersebut akan dibina berasaskan kepada platform papan selaju boleh ubah Rivian yang juga menjadi asas kepada model R1S dan R1T.
Ini merupakan satu tempahan yang sangat besar untuk mana-mana pengeluar kenderaan. Apatah lagi buat Rivian yang masih belum menawarkan apa-apa produk kepada orang awam. Biarpun begitu, startup EV itu sudahpun berjaya menarik pelaburan besar daripada Amazon dan Ford.
Awal tahun lalu, Amazon memulakan pembiayaan sebanyak AS$700 juta (RM2.9 bilion). Manakala Ford pula sebanyak AS$500 juta (RM2 bilion) dan Cox Automotive membiayai AS$350 juta (RM1.4 bilion) lagi.

Menurut jurucakap Rivian, apabila semua van elektrik Amazon ini digunakan, ia mampu mengurangkan 4 juta metrik tan CO2 setahun. Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan terma kewangannya dengan Amazon.
Rivian merancang untuk melancarkan dua kenderaan elektrik ke pasaran pada tahun depan iaitu SUV R1S dan trak pikap R1T.
Kedua-dua model itu akan ditawarkan dengan sekurang-kurangnya tiga pilihan pek bateri dengan jarak sejauh 386 hingga 643km, bergantung kepada kapasiti.