
INILAH KERETA-KERETA PILIHAN BILLIONAIR TERKENAL DI DUNIA
Mereka sangat terkenal, sangat kaya dan bukannya tokey kosmetik ataupun jutawan MLM. Dengan kekayaan yang mencecah USD100 billion (tak payah tulis dalam RM la nanti panjang sangat), mereka sebenarnya mampu membeli apa sahaja di dunia ini. Rumah agam, hypercar, jet peribadi, kereta kebal, helikopter tempur Apache, Nuri, Y15 edisi Movistar, Honda Fin, Myvi dan macam-macam lagi.
Tapi apakah kereta yang menjadi pilihan mereka? Adakah mereka gilakan Toyota Vellfire, Alphard recond dan Ford Mustang seperti usahawan muda baru up? Ataupun kekal menggunakan Volvo estate klasik seperti pengasas Ikea? Mari kita tengok senarai billionair terkenal dan kereta yang menjadi pilihan mereka. Dan satu perkara yang pasti mereka tidak perlukan rancangan realiti televisyen untuk menayang kekayaan.
Bill Gates

Pengasas Microsoft ini dikatakan mempunyai kekayaan bernilai USD99.4 billion dan merupakan seorang peminat Porsche sejati. Nampak tak? Tak semestinya orang muka skema suka pakai kereta EV. Sekitar tahun 80-an, kereta sport paling cool keluaran Jerman ialah Porsche 959 dan Gates juga mahukan sebuah.
Sebaik membelinya, Porsche tersebut tersadai di dalam depoh kastam AS kerana masalah perundangan selama hampir sepuluh tahun. Gates menunggu undang-undang berkaitan import individu kenderaan bersejarah diluluskan sebelum menuntut kereta tersebut dan kini menggunakannya hampir setiap hari.
Seorang lagi kawan Pok Ya yang menggunakan kereta ini ialah Sang Waja Timur di Hong Kong. Korang kenal tak?
Steve Ballmer

Steve Ballmer merupakan bekas CEO Microsoft dan juga pemilik pasukan basketball Los Angeles Clippers. Kekayaannya beliau mencecah USD50 billion dan sering dilihat memandu Ford Fusion Hybrid yang sangat sempoi berbanding kekayaan beliau.
Menariknya kereta tersebut merupakan hadiah dari Ford selepas kejayaan kerjasama Ford dan Microsoft dalam pengeluaran kereta yang dilengkapi dengan sistem Sync.
Vladimir Putin

Walaupun kelihatan amat bersederhana tapi rasanya semua orang tahu yang Putin memang seorang billionair. Malah ramai pakar industri kewangan yakin yang beliau sebenarnya antara individu terkaya di dunia.
Apa Trump? Awak dah la tak ensem. Tapi sebagai seorang rakyat Russia yang patriotik, Putin turut memiliki kereta dari pengeluar paling bersejarah di Russia, Lada. Kenapa tidak, Lada memang murah dan dihasilkan khas untuk golongan bawahan di sana. Kat sini kereta apa yang baru dan murah?
Steve Jobs

Sewaktu beliau masih hidup, CEO Apple ini membuat satu perjanjian dengan sebuah syarikat sewa beli kereta untuk menggantikan kereta beliau dengan unit baharu setiap enam bulan.
Ini ialah untuk mengelakkan kereta beliau menggunakan nombor pendaftaran. Sebelum ini undang-undang tempatan California memberikan tempoh 6 bulan kepada kereta baru sebelum wajib mempamerkan nombor pendaftaran kenderaan.
Jobs mungkin tidak mahu perhatian dan beliau bukannya seperti setengah rakyat Malaysia yang gemar menggubah nombor plet supaya menjadi fancy dan menarik perhatian kononnya (perhatian JPJ kot). Jobs sukakan kereta yang sama dan kereta terakhir pilihan beliau ialah Mercedes SL55 AMG.
Alice Walton

Pewaris gedung membeli-belah Walmart ini mewarisi kekayaan hampir USD50 billion dan memiliki ladang seluas 3200 ekar di Texas. Sama seperti peladang lain beliau menggunakan trak pikap setiap hari dan kenderaan pilihan beliau ialah F-150 King Ranch. Nampaknya beliau turut mengikut jejak langkah ayahnya yang juga menggunakan F-150.
Larry Ellison

Pengasas Oracle dan salah seorang lembaga pengarah Tesla ni memang kaya raya. Beliau juga mengumpul pelbagai aksesori mewah seperti hartanah, kapal layar dan kereta. Antara koleksi terbaik beliau ialah sebuah McLaren F1 dan terbaru sekali dilihat memandu Lexus LFA.
Mark Zuckerberg

CEO dan pengasas Facebook dengan muka ulat buku ni memang kaya. Satu dunia dah tahu yang beliau sereing dilihat memandu Toyota Prius dan Golf GTI. Tapi beliau juga mempunyai sesuatu yang lebih laju dan eksotik di dalam garaj beliau, Pagani Huayra.
Donald Trump

Inilah presiden AS yang paling buruk perangai dan menganggap kereta-kereta Jerman dan Jepun sebagai pembunuh industri automotif AS. Yang kelakarnya beliau melamar isterinya sekarang dengan menghadiahkan sebuah Mercedes-Benz McLaren SLR.
Beliau turut memiliki sejumlah kereta import lain seperti Rolls-Royce, Lamborghini Diablo VT Roadster, Mercedes-Benz S600 Guard dan macam-macam lagi selain Cadillac Escalades. Hai boss, semua tu bukan model import ke?
Warren Buffet

Taikun media ini mungkin mempunyai kekayaan bernilai USD 88.4 billion tetapi beliau memang terkenal dengan sifat kedekut. Beliau cuma menggunakan sebuah Cadilac DTS keluaran 2006 sebelum anak perempuannya meminta beliau menukar kepada kereta yang lebih baru. Pilihan beliau? Sebuah Cadilac CTS yang dibeli dari kedai pengedar tempatan.
Jeff Bezos

Jeff Bezos merupakan CEO Amazon dan memang melampau kayanya. Kini beliau dikatakan mempunyai kekayaan bernilai USD150 billion. Macam mana boleh macam tu punya kaya?
Salah satu mungkin kerana sifat kedekut dan mungkin juga sifat rendah diri. Kami pun tak tahu yang mana satu. Kalau tak takkan beliau masih menggunakan kereta Honda Accord keluaran tahun 1996.
Arwah ayah Pok Ya punya Accord pun keluaran tahun 1997 dan tak adalah bertaraf jutawan. Kalau ada pun masa pergi melancong ke Indonesia, dapatlah merasa jadi jutawan rupiah.