Pandu Uji

JMC VIGUS PRO, 139 KUASA KUDA DAN TRANSMISI 8 KELAJUAN ZF

Jiang Ling Motor Corporation ataupun singkatannya JMC merupakan salah satu pengeluar kenderaan komersial di China. Menerusi kerjasama dengan Tan Chong Holding, JMC cuba menembusi pasaran Malaysia dengan produk mereka iaitu sebuah trak pikap 4×4 dengan dipasarkan melalui Angka-Tan Motor Sdn Bhd

Syarikat ini diberikan hak eksklusif untuk memasang dan menjual kenderaan berjenama JMC di Malaysia dengan percubaan pertama mereka iaitu JMC Vigus Pro 4×4 pada harga RM 105,888. Dengan harga yang murah sedikit berbanding dengan model 4×4 paling popular iaitu Toyota Hilux 2.4 E, adakah JMC Vigus mampu menarik perhatian pembeli?

Dari sudut depan, JMC Vigus Pro tidak meniru mana-mana rekaan trak pikap yang sedia ada. Ia tampil dengan rekaan jeriji depan melintang yang besar dan diapit dengan lampu DRL LED berbentuk C yang turut dipasang dengan lampu kabus. Lampu utama menggunakan lampu halogen dengan projektor

Approach angle atau sudut capaian depan dibuat pada 28.5 darjah bagi memudahkan JMC Vigus Pro mendaki laluan yang sukar. Kuasa enjin dibekalkan daripada enjin 4 silinder 2000cc Ford Puma yang menjana kuasa 139 kuasa kuda dan 340Nm tork sudah cukup untuk membawa JMC Vigus ini meredah laluan sukar

Transmisi automatik 8 kelajuan pula dibekalkan oleh jenama terkenal iaitu ZF dengan kebanyakan model lain masih menggunakan transmisi 6 atau 7 kelajuan sahaja. Malah tombol gear yang digunakan juga adalah mirip tombol gear dengan rekaan yang digunakan oleh kebanyakan model Peugeot.

Bagi sistem pacuan 4 roda pula, ia merupakan sistem 4WD yang dibekalkan oleh pembuat terkenal iaitu Borg Warner. Jadi dari segi komponen kritikal yang penting seperti enjin, transmisi, dan sistem 4×4, JMC Vigus Pro mampu menawarkan produk yang baik pada harga mampu milik

JMC Vigus Pro dibekalkan dengan rim 17 inci dengan 2 tona bagi unit pandu uji serta dbalut dengan tayar jenama Giti dari jenis Highway Terrain. Satu perkara menarik perhatian penulis ialah penggunaan brek cakera untuk roda belakang dimana kebanyakan pembuat 4×4 lain cenderung untuk menggunakan brek dram.

Dengan jarak kelegaan 225mm, JMC Vigus Pro boleh meredah laluan yang sukar dengan mudah tapi pada hemat penulis adalah lebih baik jika pemilik menukar tayar All Terrain yang menawarkan cengkaman lebih bagus di jalan tidak berturap.

Roda belakang juga dipasang dengan spring dedaun yang menawarkan beban muatan maksima 850kg sesuai untuk peniaga industri kecil dan sederhana bagi mengangkut barangan perniagaan. Disebabkan keadaan cuaca yang kurang sesuai dan penggunaan tayar HT, maka kebanyakan pandu uji penulis dibuat atas jalan raya biasa

Sama seperti kebanyakan trak 4×4 yang lain, penggunaan spring dedaun di bahagian belakang dan juga gabungan cesi ladder frame menjadikan pemanduan JMC Vigus Pro terasa tegar dan keras. Jika anda pernah memandu Toyota Hilux VNT 2015, maka anda akan faham maksud penulis

Gear automatik 8 kelajuan yang dibekalkan oleh ZF terasa sedikit “tinggi” ratio yang digunakan terutama pada gear 1, 2 dan 3 menjadikan pemanduan anda secara perlahan ketika merayap di kesesakan jalan raya atau memandu keluar daripada taman perumahan tidak selancar jika dibandingkan dengan model yang lain.

Jika anda memandu laju di lebuh raya, maka operasi gear dan enjin ini akan bergerak lancar tanpa sebarang masalah

Dari aspek keselamatan, JMC Vigs Pro dilengkapi dengan 2 beg keselamatan udara, sistem kawalan kestabilan elektronik ESP dan juga sistem kawalan ketika menuruni cerun (Hill Decent Control) serta lampu depan yang akan menyala secara automatik

Jika anda perlukan sebuah kenderaan yang mampu membantu anda menjalankan perniagaan dengan segera, maka jangan risau kerana JMC Pro Vigus boleh didapati dengan cepat tanpa menunggu selama berbulan-bulan.

Untuk promosi hujung tahun, anda akan mendapay aksesori bernilai RM 1300 secara percuma, 5 tahun jaminan dengan jarak pemanduan sehingga 150,000km dan 5 kali servis pecuma. Jika anda berminat, anda boleh tambah lagi RM 1500 untuk mendapat pakej VKOOL, balutan kulit untuk kusyen, perakam video digital dan juga bedliner.

Google ads
Back to top button