APLIKASI BAHARU TOYOTA BOLEHKAN PEMILIK GR YARIS DAN LBX MORIZO RR TAMBAH PRESTASI KERETA MEREKA
Toyota GR Yaris merupakan jenis kereta yang sepatutnya dikerahkan ke litar untuk menunjukkan potensinya yang sebenar. Jadi sebab itulah Toyota telah melancarkan satu aplikasi khusus untuk pemilik dua model bertuah ini. Ia bagaimanapun terhad untuk pemilik yang berada di Jepun sahaja.
Aplikasi Circuit Mode ini dihasilkan khusus untuk telefon pintar pemilik dua model tersebut bermula 21 Ogos ini. Fuh sempat lagi ke nak beli GR Yaris ni. Tapi pastikan ianya model yang dihasilkan dari April tahun ini. Lexus LBX Morizo RR pun boleh kerana keduanya berkongsi enjin 3-selinder turbo yang sama.
Satu daripada ciri utama aplikasi ni ialah ia melaraskan semula lampu tukaran gear untuk tukaran yang lebih optimum. Satu lagi aspek penting ialah had kelajuan elektronik yang ditetapkan pada 180 kmj untuk kereta-kereta JDM. Mana boleh main atas trek dengan kelajuan banyak tu.
Bukan itu sahaja, aplikasi ini juga menambaik kelajuan anda keluar dari selekoh dengan mengawal tekanan turbo. Untuk memastikan enjin tidak jahanam dengan pertambahan kuasa tadi operasi kipas juga turut dioptimakan semasa berada di atas litar.
Menurut Toyota, aplikasi tersimpan menyimpan data 34 litar di seluruh Jepun termasuk Fuji Speedway, Suzuka dan Sodegaura Forest Raceway. Data GPS akan mengenal pasti di litar mana anda berada membolehkan anda mengakses maklumat mengenai litar tersebut.
Hebat tu tapi satu je abang tak puas hati. Kenapa litar Mentakab Super Duper Speedway tak termasuk sekali? Nak piat telinga budak Akio ni.