MR BEAN PANDU TOYOTA GR YARIS HIDROGEN DI GOODWOOD FESTIVAL OF SPEED
Acara permotoran tahunan Goodwood Festival of Speed memang menarik perhatian ramai peminat automotif termasuklah selebriti. Antara selebriti terkenal yang turut hadir ialah aktor British Rowan Atkinson yang lebih kita kenali dengan nama Mr. Bean. Kali ni Mr. Bean tidak lagi memandu kereta Mini klasiknya tetapi digantikan dengan model yang lebih hijau – Toyota GR Yaris berkuasa hidrogen.
Rasanya satu dunia dah tahu yang Atkinson ni memang seorang kaki kereta. Antara kereta yang pernah ada dalam koleksi beliau ialah McLaren F1. Bukan calang-calang orang kalau pernah memiliki dan memandu McLaren F1 ni. Sahih geng-geng founder pun tak pernah merasa memandu McLaren F1.
Kemunculan beliau di acara ini dengan kereta berkuasa hidrogen ialah sebagai sokongan kepada teknologi sifar karbon dari enjin kenderaan.
GR Yaris berkuasa hidrogen yang dipandu Atkinson pernah muncul dalam perlumbaan demonstrasi WRC. Ia menggunakan enjin 1.6 liter tiga-selinder yang diubahsuai agar boleh dioperasi menggunakan hidrogen dengan sistem suntikan custom.
Atkinson sendiri mempunyai kelayakan dalam bidang kejuruteraan elektrik dan elektronik merupakan antara penyokong awal teknologi EV. Namun Atkinson sebelum ini pernah menyuarakan kritikan dengan perkembangan EV yang terlalu laju.
Beliau menyatakan sokongan terhadap teknologi EV termasuklah perlumbaan kereta-kereta EV tetapi menegaskan masih terdapat mereka yang menentang konsep tersebut. Beliau menyebut tentang hubungan emosi antara pelumba dengan kenderaan yang menggunakan enjin pembakaran dalaman. Yang pasti ia tidak wujud pada ssebuah kereta EV.
Selain daripada McLaren F1, Atkinson pernah memiliki Lancia Delta Integrale HF, Honda NSX, Land Rover dan macam-macam model lag. Beliau turut memiliki sebuah GR Yaris standard dengan enjin ICE.