HONDA YE S7 DILANCARKAN LEBIH AWAL? – TAWAR JARAK GERAK 620KM, ANGGARAN HARGA RM125K
Pada awal tahun ini, Honda mengumumkan pelancaran rangkaian kereta elektrik (EV) eksklusif untuk pasaran China, dikenali sebagai siri Ye.
Pada acara tersebut, Honda mempamerkan dua model yang hampir siap untuk produksi, iaitu S7 dan P7, serta konsep Ye GT.
Walaupun kedua-dua model Ye S7 dan P7 dijangka akan mula dijual tahun ini, setakat ini kita lebih banyak mendengar tentang S7 melalui rakan usaha sama Honda, Dongfeng.
Kemungkinan besar, S7 akan dilancarkan lebih awal daripada P7 yang dihasilkan bersama GAC.
Dalam maklumat terkini mengenai Ye S7, Kementerian Industri dan Teknologi Maklumat (MIIT) China telah memasukkan model ini dalam “Katalog Model Kenderaan Tenaga Baru yang Dikecualikan daripada Cukai Pembelian Kenderaan (Kumpulan Kelapan).”
Honda Ye S7 mempunyai ukuran 4,750mm panjang, 1,930mm lebar, dan 1,625mm tinggi, dengan jarak roda 2,930mm.
SUV elektrik sederhana ini dibina berdasarkan seni bina W baru dari Honda, mempunyai berat 2,305kg dan menggunakan rim bersaiz 21-inci.
Dari segi reka bentuk, Ye S7 hadir dengan ciri-ciri mewah termasuk kamera pandangan sisi sebagai ganti cermin sisi, terdapat dua pilihan warna; hitam dan putih serta dilengkapi port pengecasan di fender depan.
Walaupun tiada gambar rasmi yang muncul untuk bahagian dalam Ye S7, gambar diambil semasa Beijing Auto Show mungkin cukup mewakili versi produksi.
Gambar-gambar ini menunjukkan Ye S7 dilengkapi stereng rata tiga jejari bersama dengan panel skrin instrumen LCD yang terletak dalam di papan pemuka.
Skrin infotainment dipasang di tengah dibahagikan kepada dua bahagian, dengan bahagian bawah adalah untuk kawalan iklim dan tempat duduk, manakala bahagian atas meliputi fungsi skrin biasa.
Kelengkapan lain termasuklah panoramic sunroof, sistem audio Bose, dan pengecasan telefon tanpa wayar.
Menerusi bateri litium ternari 89.8 kWh yang dibekalkan oleh CATL, Ye S7 mampu mencapai jarak maksimum 620km mengikut Kitaran CLTC.
Kereta ini menggunakan sistem pacuan empat roda dengan motor hadapan menghasilkan kuasa maksimum 150kW dan motor belakang 200kW, sementara kelajuan maksimum dihadkan pada 180 km/j.
Beralih pada harga, Honda Ye S7 dijangka diberi tanda harga bermula AS$27,950 (RM125,490), dan akan bersaing dengan model seperti Tesla Model Y serta Nio ES6.
GALERI:
- BACA: PERALIHAN LESEN B DIJANGKA LONJAK PERMINTAAN MOTOSIKAL KAPASITI SEDERHANA
- BACA: JENAMA DARI PERANCIS DISELAR ‘CURI PELUANG’ DI ART OF SPEED 2024
- BACA: NISSAN TUKAR VAN MEREKA KEPADA BILIK HOTEL MEWAH – TAK PERLU SUSAH PAYAH CARI HOTEL DAH
- BACA: CEROBOH LANDASAN KERETA API DEMI GAMBAR ESTETIK, KTMB AMBIL TINDAKAN UNDANG-UNDANG