Buletin

PERALIHAN LESEN B DIJANGKA LONJAK PERMINTAAN MOTOSIKAL KAPASITI SEDERHANA

Langkah kerajaan memperkenalkan program peralihan khas bagi mendapatkan Lesen Memandu Malaysia (LMM) kelas B penuh mulai 1 Oktober ini dan cadangan rasionalisasi subsidi RON95 dijangka melonjakkan permintaan terhadap motosikal berkapasiti sederhana dan ke atas.

Ketua Pegawai Operasi Mforce Bike Holdings Sdn Bhd, Asri Ahmad, berkata kedua-dua situasi itu akan memberi impak kepada segmen dua roda terutamanya kepada golongan pertengahan sebagai langkah penjimatan.

Justeru, katanya, pasaran motosikal berkuasa tinggi dari 250cc dan ke atas dijangka meningkat disebabkan kemudahan untuk mendapatkan lesen B penuh tanpa mengeluarkan kos yang tinggi dan tidak perlu melalui proses yang panjang.

“Ini adalah langkah yang sangat baik (peralihan lesen B penuh) kerana ia memberi peluang kepada orang ramai untuk memiliki lesen B penuh secara mudah. Ia juga salah satu cara untuk mengekang orang ramai dari menunggang motosikal berkuasa besar tanpa lesen yang sah.

“Tentunya pengalaman 10 tahun ke atas adalah faktor penting kerana mereka telah memahami secara terperinci tentang undang-undang serta lebih penting mereka mempunyai kemahiran dan pengetahuan tunggangan yang luas.

“Dengan ini kedua-dua faktor (lesen B penuh dan rasionalisasi RON95) ini akan menyumbang peningkatan ke atas motosikal berkapasiti sederhana, apabila program ini dilaksanakan oleh kerajaan,” katanya.

Mengulas lanjut, Asri berkata, kesan kenaikan harga RON95 selepas rasionalisasi subsidi dilaksanakan dijangka membebankan golongan pertengahan atau pekerja eksekutif ke atas di mana golongan berkenaan berkemungkinan tidak tergolong dalam kumpulan program penyasaran RON95.

“Oleh itu, golongan ini akan beralih dari memandu kereta ke motosikal 250cc dan ke atas sebagai kenderaan harian. Justeru, saya menjangkakan pasaran motosikal pertengahan akan meningkat secara positif pada masa akan datang,” katanya.

Beliau menegaskan, Mforce Bike Holdings yang mengeluarkan dan mengedar pelbagai jenama motosikal termasuk Benelli, SYM, MotoMorini, CFMoto dan Brixton telah melaksanakan persediaan awal untuk memenuhi jangkaan peningkatan permintaan.

“Mforce Bike Holdings telah memperkenalkan banyak jenama dan model baharu yang berkapasiti enjin lebih 250cc. Buat masa ini Mforce telah memasarkan lebih dari 20 model motosikal yang mempunyai kapasiti enjin dari 250cc hingga 1,250cc dari berbagai kategori seperti superbike, skuter maxi, easy rider dan naked bike dari pelbagai jenama,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Didi Group, Juan Chow Wee berkata, langkah kerajaan memudahkan pemilikan lesen B penuh memberi impak positif kepada pengguna dan pasaran pertengahan kerana kos pemilikan kelas lesen khusus itu agak mahal.

“Sebelum ini, mereka yang memiliki lesen B penuh sudah pasti memilih jentera 500cc dan ke atas atau kekal dengan pemilikan sedia ada. Pelaksanaan pendekatan baharu kerajaan bakal memberi kemudahan kepada pemilik untuk beralih kepada motosikal 300 hingga 400 cc yang berharga sekitar RM20,000 hingga RM30,000.

“Selepas Oktober, lebih ramai pengguna boleh memikirkan untuk menaik taraf pemilikan motosikal mereka,” katanya.

Chow Wee berkata, satu perkara yang perlu diberi tumpuan adalah paras kredit yang boleh dipertingkatkan oleh syarikat pemberi pinjaman sewa beli bagi memudahkan pemilikan motosikal berkapasiti 300 – 400 cc yang berharga bawah RM30,000 – RM35,000,” katanya.

Jumaat lalu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mengumumkan pemegang LMM kelas B1 dan B2 selama 10 tahun dan ke atas akan layak menyertai program peralihan khas untuk mendapatkan lesen B penuh bermula 1 Oktober ini.

Bagaimanapun, katanya, pemohon perlu memenuhi syarat ditetapkan, antaranya menghadiri dan lulus program peralihan serta penyesuaian ke kenderaan motosikal berkuasa 500 cc ke atas di institut memandu (IM) dengan kos yuran sebanyak RM160.

Pemohon juga perlu menjalani program amali tunggangan, informasi pemanduan selamat dan informasi pengoperasian motosikal berkuasa besar untuk tempoh dua jam sahaja.

Melalui program amali itu, pemohon mesti mendapatkan pengesahan tahap keupayaan mengendalikan motosikal berkuasa besar oleh ‘Qualified Training Officer’ (QTO) di IM.

Sebelum ini, kos mendapatkan LLM kelas B adalah RM900 serta perlu menjalani kelas teori selama dua jam dan latihan litar 9.5 jam.

Ketika ini, terdapat lebih 10 juta pemegang LLM kelas B2. – Berita Harian

Google ads
Back to top button