Buletin

LEXUS LBX MORIZO RR ORIGINAL EDITION CURI TUMPUAN – TERHAD 100 UNIT, HARGA SEKITAR RM210K

Bagi yang belum mengenali, Lexus LBX ialah sebuah crossover sub-kompak yang mula diperkenalkan untuk pasaran Eropah dan Jepun pada hujung 2023.

Walaupun kelihatan sederhana, versi istimewa yang dikenali sebagai Morizo menjadikan model ini antara paling diingini di luar Jepun.

Nama Morizo bukan sekadar hiasan. Ia merupakan nama samaran perlumbaan Akio Toyoda, bekas presiden Toyota. Di Amerika Syarikat, gelaran itu digunakan pada edisi trek GR Corolla yang dilucutkan elemen tidak penting demi prestasi.

Untuk LBX, Lexus memperkenalkan LBX Morizo RR, ibarat versi mewah kepada GR Yaris, lengkap dengan enjin 1.6 liter tiga silinder turbo berkuasa 300hp seperti GR Corolla, dipadankan sama ada dengan transmisi manual atau automatik lapan kelajuan.

Terbaru, Lexus mengumumkan edisi terhad LBX Morizo RR Original Edition, diilhamkan daripada konsep LBX Morizo yang dipertontonkan pada Januari 2024.

Pakej ini menampilkan perincian warna kuning “tanda tangan” Morizo pada angkup brek, kemasan bampar hadapan dan tali pinggang keledar, bersama kabin berwarna Ochre yang menyerupai rona menawan pada LC 500.

Hanya 100 unit akan dihasilkan untuk pasaran Jepun — 70 unit melalui undian awal dan selebihnya 30 unit menerusi undian umum.

Mereka yang bertuah memperoleh kuota pembelian perlu membayar sebanyak 7.3 juta yen (sekitar RM210,000) bagi model Original Edition.

Untuk rekod, harga berkenaan adalah jauh lebih mahal berbanding LBX biasa yang dijual antara 4.2 juta hingga 5.76 juta yen (RM121,000 hingga RM166,000).

GALERI:

Google ads
Back to top button